Hakim Danish ke Eropah lebih awal persiap mental, fizikal

Hakim Danish ke Eropah lebih awal persiap mental, fizikal

aida_adilah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Hakim Danish Ramli memilih untuk terbang ke Eropah lebih awal bagi menyesuaikan mental, emosi dan kehidupan bersendirian sebelum cabaran sebenar Moto3 bermula bersama pasukan MT Helmets-MSI.

Pengurus pasukan SIC Racing, Zulfahmi Khairuddin, berkata langkah itu penting bagi mengelakkan kejutan fizikal dan mental, khususnya dalam menghadapi cuaca, suasana serta tekanan perlumbaan di Eropah.

Menurutnya, Hakim Danish dijadual berlepas hujung bulan ini menjelang sesi ujian di Portimao, Portugal awal Februari, namun dia tidak mahu pelumba muda itu terus turun ke litar tanpa persediaan menyeluruh.

“Saya tak mahu dia terus pergi ke test (ujian). Saya mahu dia menyesuaikan dulu dengan cuaca dan urus kehidupan di sana sebelum masuk litar.

“Apa yang saya lalui lapan tahun lalu, saya tak mahu Hakim laluinya,” katanya pada majlis menandatangani perjanjian antara ZK Racing bersama OneDry di sini hari ini.

Ini kerana Zulfahmi menegaskan Hakim Danish tidak diletakkan dalam pasukan biasa-biasa, sebaliknya bersama pasukan yang sudah membuktikan keupayaan di peringkat tertinggi.

Dalam saingan Moto3 musim ini, Hakim Danish menggalas tanggungjawab besar apabila menggantikan Angel Piqueras yang menamatkan kempen lalu di tempat kedua.

Sesi ujian pra musim 2026 dijangka berlangsung di Portima, Portugal sebelum kalendar perlumbaan Moto3 bermula di Buriram, Thailand pada hujung Februari.

“Kita meletakkan Hakim Danish dalam pasukan kuat bertujuan memberi persekitaran terbaik agar pelumba itu mampu bersaing secara realistik dengan kelompok terbaik dunia.

“Kalau boleh kita mahu dia menempatkan diri dalam top tiga atau mungkin boleh top lima, dan sebaliknya,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top