mohdsyazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Selangor FC (SFC) memulakan misi memburu gelaran ke-34 Piala Malaysia apabila bertandang ke Stadium Sultan Muhammad IV untuk menentang Kelantan The Real Warriors (TRW) pada aksi pertama pusingan 16, malam esok.
Sebagai juara terbanyak kejohanan dengan 33 gelaran, SFC hadir ke bumi Kelantan dengan motivasi tinggi di bawah kendalian pengendali baharu, Kim Pan-gon.
Bekas pengendali Harimau Malaya itu yang diumumkan menyertai SFC pada 5 Januari lalu mencipta impak positif apabila membantu Gergasi Merah meraih dua kemenangan berturut turut, termasuk menewaskan Negeri Sembilan FC 1 0, Rabu lalu.
Keputusan itu melonjakkan SFC ke tangga kedua Liga Super sekali gus menyuntik keyakinan pasukan menjelang pertembungan dengan TRW.
Dengan perkembangan positif yang ditampilkan, Selangor FC dilihat memiliki peluang cerah untuk membawa pulang bekalan selesa sebelum aksi timbal balik di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Jumaat ini.
Namun Pan-gon mengingatkan anak buahnya agar tidak memandang mudah cabaran TRW walaupun skuad kendalian Akmal Rizal Ahmad Rakhli itu berada di tangga ketiga terbawah liga.
“Saya bangga dengan usaha pemain, tetapi masih ada ruang untuk penambahbaikan. Kami perlu terus membangunkan DNA pasukan dan itu perkara paling penting.
“Kami mahu bermain bola sepak yang positif, bertenaga dan dinamik. Apabila itu dapat dilakukan, keputusan akan menyusul. Jadi kami akan terus bekerja keras,” katanya.
Dalam pada itu, TRW juga hadir dengan semangat baharu selepas menewaskan Sabah FC 3-2 dalam aksi liga di gelanggang sendiri, Selasa lalu, sekali gus menamatkan kemarau kemenangan tujuh perlawanan.
Sementara itu, Terengganu FC dijangka berdepan laluan lebih mudah apabila bakal menentang wakil Liga A1 Semi Pro, UM Damansara United di Stadium UM Arena, petang esok.
Pengendali UM Damansara United, Ridzuan Abu Shah mengakui cabaran getir menanti pasukannya, namun tetap bertekad memberi tentangan kepada Terengganu yang disifatkan berpengalaman luas dalam kancah Liga Malaysia.
“Kami menghormati pasukan Liga Super seperti Terengganu yang memiliki pemain import dan pemain berkaliber. Itu cabaran besar buat kami yang pertama kali beraksi di Piala Malaysia, tetapi saya akan cuba mengetengahkan kemampuan pemain yang ada,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




