mohamadridzuan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Prof Dr Muhammad Kamarul Kabilan Abdullah, suami kepada pelakon Nadia Kesuma, 50, memaklumkan jenazah isterinya akan dikebumikan selepas solat Subuh (waktu tempatan), hari ini.
Perkara ini dimaklumkan menerusi hantaran di Facebook Muhammad Kamarul, 57, awal pagi ini.
“Jenazah sudah dimandikan oleh anak (Sarah dan kawan arwah) dan sudah disembahyangkan, dan diimamkan sendiri oleh saya,
“Alhamdulillah. Jenazah akan dikebumikan selepas Subuh (sekarang 1.33 am, waktu Jeddah). Subuh jam 5.44 am (10.44 pagi waktu Malaysia),” katanya dalam hantaran terbabit.
Muhammad Kamarul dan Sarah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Jeddah, Arab Saudi pada jam 5.35 petang semalam bagi menguruskan pengebumian Nadia di negara itu.
Awal pagi semalam, Muhammad Kamarul memaklumkan isterinya meninggal dunia di Jeddah pada 15 Januari lalu.
Terdahulu, Presiden Gagasan Transformasi Anak Seni (GTAS), Anne Abdullah berkongsi berita kematian Nadia yang sebelum ini dilapor hilang selepas gagal dikesan di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz di Jeddah pada Khamis lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




