mohdsyazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kuala Lumpur City (KL City) berdepan detik sukar dalam kempen Piala Malaysia musim ini selepas tunduk 0-2 kepada pasukan Liga A1 Semi Pro, Perak FA pada aksi pertama pusingan 16 di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, malam tadi.
Kekalahan itu nyata di luar jangkaan skuad City Boys yang turun dengan status pasukan Liga Super, namun jurulatih, Risto Vidakovic tidak mahu terlalu ‘cemas’ sambil menegaskan segala yang berlaku di atas padang sebenarnya sudah diramal lebih awal.
Menurutnya, pendekatan bertahan ekstrem dan serangan balas pantas Perak FA sudah dikenalpasti menerusi analisis sebelum perlawanan, namun keberkesanan lawan menyempurnakan peluang menjadi pemisah utama.
“Kami menjangkakan mereka akan bertahan sangat dalam dan bergantung kepada serangan balas.
“Itu yang berlaku sepanjang perlawanan. Semua yang kami lihat dalam analisis berlaku, cuma kami tidak menyangka akan tewas,” katanya.
Pada perlawanan malam tadi, Perak FA membawa bekalan selesa untuk aksi timbal balik apabila meledak dua gol menerusi Ahmad Daniel Hakimi Ahmad Azmil dan Muhammad Fadhil Mohammad Azmi.
Dua gol berkenaan membuatkan juara Piala Malaysia 2021 terpaksa bekerja keras jika mahu layak ke peringkat suku akhir pada pertemuan kedua yang berlangsung di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, 25 Januari ini.
Sementara itu, Vidakovic mengakui kemenangan Perak adalah wajar selepas pasukan itu berjaya memanfaatkan dua peluang untuk menjaringkan gol, sekali gus meletakkan KL City dalam situasi tertekan menjelang aksi timbal balik.
“Mereka layak menang. Mereka menjaringkan dua gol dan sekarang terpulang kepada kami untuk cuba mengubah keputusan di tempat sendiri.
“Kami masih ada satu lagi perlawanan dan perlu bangkit. Tiada apa yang tidak kena.
“Pemain mencuba sepanjang masa, tetapi amat sukar apabila lawan bertahan dengan semua pemain dalam kotak penalti. Tiada ruang untuk bermain,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




