am@hmetro.com.my
Nilai: Misteri sebuah motosikal dan bagasi ditinggalkan berhampiran Dataran Nilai di sini, sejak hujung Disember lalu akhirnya terbongkar selepas pemiliknya itu disahkan ditahan polis.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Johari Yahya berkata, lelaki berusia 34 tahun itu ditahan selepas disyaki mencuri pakaian di sebuah pusat beli-belah di sini.
“Kejadian berlaku kira-kira jam 5 petang 30 Disember lalu. Suspek dikatakan dalam keadaan mencurigakan di sebuah kedai menjual pakaian sebelum ditahan pekerja kedai itu.
“Hasil pemeriksaan menemui dua baju T dan sehelai boxer yang dipercayai dicuri. Pekerja memaklumkan perkara itu kepada pengurusan pusat beli-belah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Katanya, polis membuat tangkapan semula terhadap lelaki berkenaan selepas mendapat maklumat daripada pengawal keselamatan pusat beli-belah berkenaan.
“Polis juga sudah mengambil motosikal dan bagasi yang ditinggalkan suspek tidak jauh daripada pusat beli-belah berkenaan,” katanya.
Katanya, lelaki berkenaan sudah dituduh di Mahkamah Majistret Seremban pada 2 Januari lalu dan mengaku bersalah sebelum dijatuhi hukuman penjara tiga bulan.
“Lelaki ini kini berada di penjara. Semakan juga mendapati lelaki itu terbabit kes kecurian harta milik majikannya pada 28 Disember lalu.
“Kes ini akan dituduh tidak lama lagi. Justeru itu, saya mengucapkan terima kasih kepada orang awam yang menyalurkan maklumat mengenai motosikal dan bagasi lelaki ini,” katanya.
Semalam seorang lelaki memuat naik hantaran di Facebook memaklumkan ternampak motosikal berkenaan yang diletakkan di lokasi itu sejak berminggu-minggu bersama sebuah bagasi.
© New Straits Times Press (M) Bhd




