Kelengkapan taktikal termasuk dron pantau keselamatan negara

Kelengkapan taktikal termasuk dron pantau keselamatan negara

saufi@mediaprima.com.my

DUNIA teknologi hari ini memungkinkan aspek pemantauan, sama ada berbentuk digital atau fizikal, boleh dilaksanakan menerusi kelengkapan atau perkakasan yang sesuai.

Keupayaan teknologi ini turut mengubah segenap landskap industri, khususnya membabitkan pertahanan serta keselamatan.

Mendepani landskap keselamatan moden serta bentuk ancaman baharu yang lebih kompleks, teknologi semasa tidak boleh diketepikan, ia perlu digembleng bersama tenaga pakar manusia.

Contohnya, perkhidmatan aset seperti dron bukan lagi alat sokongan untuk rakaman udara atau pemantauan biasa, sebaliknya sudah berubah menjadi kelengkapan taktikal yang menentukan kejayaan operasi, kalah menang di medan pertempuran dan pengumpulan maklumat risikan menerusi ‘mata di udara’.

Menyentuh konteks Malaysia, industri dron sedang berkembang pesat dan semakin tersusun apabila beberapa agensi kerajaan menggunakan dron secara meluas dalam operasi harian.

Pakar Penerbangan, Prof Madya Mejar Dr Mohd Harridon Mohamed Suffian berkata, penggunaan dron dalam sektor kerajaan bukan lagi perkara kecil, malah mencerminkan permintaan sebenar terhadap teknologi ini serta membuka ruang kepada pembangunan ekosistem dron tempatan yang lebih kukuh.

Contohnya, beliau berkata, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menggunakan dron dalam pemantauan kebakaran dan operasi menyelamat.

Menurutnya, dron turut digunakan untuk misi pemantauan banjir serta mengesan mangsa yang sesat di hutan dan perairan.

“Lebih signifikan, dron be rteknologi terkini dengan keupayaan pengimejan haba yang mampu mengenal pasti manusia melalui corak dan julat nilai haba lazim yang dikeluarkan manusia. “Daripada sudut ekonomi, industri dron mempunyai nilai potensi dan berkembang secara konsisten setiap tahun.

“Jangkaan pada 2030, industri dron mampu mencecah nilai RM260 bilion, manakala rantau Asia Pasifik dijangka akan mengemudi pertumbuhan berkenaan.

“Keperluan dron dalam konteks keselamatan dan pertahanan adalah lebih besar serta lebih kritikal,” katanya.

Mohd Harridon berkata, dron tidak boleh dilihat hanya dalam fungsi pemantauan biasa, sebaliknya perlu ditangani sebagai kuasa pemangkin yang meningkatkan kemampuan pasukan keselamatan.

Beliau menjelaskan, ada dron dilengkapi peluru berpandu bagi menakutkan pihak lawan serta memberi kesan psikologi kepada pihak tertentu.

Dalam konteks ini, katanya, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) perlu membuat kajian menyeluruh kerana terdapat negara yang menggunakan dron untuk menggantikan beberapa fungsi pesawat tempur dan pesawat pemantau.

“Mengikut beberapa kajian yang dilakukan oleh Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat (AS), dron mampu memusnahkan aset lawan dengan tepat dan efektif tanpa membahayakan nyawa juruterbang kerana dron boleh dipandu dari jauh.

“Contoh, peperangan di Ukraine yang menyaksikan penggunaan dron secara meluas dan berjaya melaksanakan misi peperangan.

“Dalam kerangka operasi keselamatan sempadan pula, teknologi ‘swarm’ menjadi antara pendekatan yang disarankan,” katanya.

Mohd Harridon berkata, dron pemantau juga boleh dilengkapi teknologi ‘pengecaman corak’ bagi mengesan pergerakan ganjil seperti penyeludupan, aktiviti haram seperti pembalakan serta kemasukan mencurigakan ke negara secara lebih jitu.

“Jika Malaysia mahu benar-benar membina dron tempatan yang relevan untuk operasi ketenteraan, maka spesifikasi minimum perlu dipenuhi.

“Dron hendaklah memiliki jarak operasi antara 1,000 kilometer (km) hingga 2,000km bagi membolehkan operasi pemantauan berjam-jam lamanya dan memastikan masa penggunaan dioptimumkan sepenuhnya.

“Dron ketenteraan juga perlu mempunyai pengimejan haba untuk mengenal pasti aset musuh ketika gelap atau cuaca tidak menentu,” katanya.

Mengulas lanjut tentang spesifikasi dron peninjau sebagai aset ketenteraan, beliau menyatakan bahawa dron wajar mempunyai kelajuan minimum 370 kilometer per jam (km/j) untuk mengelak ancaman musuh dan menjalankan pemetaan aset tanpa dikesan.

Katanya, keupayaan melaksanakan misi pemusnah menggunakan misil yang diintegrasikan bersama dron juga adalah kelebihan kerana kos operasi dron lebih murah daripada pesawat tempur, selain mampu melaksanakan misi tanpa membabitkan nyawa juruterbang.

“Kesimpulannya, pembangunan ekosistem secara holistik termasuk kewujudan industri kecil yang menyokong industri dron sangat penting.

“Malaysia tidak pernah kering dengan pakar teknikal khususnya membabitkan pembinaan dron, pemetaan dan teknologi baharu sekali gus potensi pembinaan dron tempatan ini adalah realistik dan boleh dicapai,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top