Canelo petinju paling kaya 2025

Canelo petinju paling kaya 2025

Mexico City: Canelo Alvarez membuktikan dia masih raja di gelanggang sukan tinju dari segi pendapatan apabila mendahului senarai petinju bergaji tertinggi dunia pada 2025.

Superstar Mexico itu menggantikan gelaran yang pernah dipegang oleh Floyd Mayweather sebagai wajah utama sukan tinju dalam dekad lalu.

Tahun lalu sekali lagi menjadi tahun yang menguntungkan buat Canelo apabila dia memperoleh keseluruhan £102 juta (RM554.81 juta) menurut laporan Sportico.

Daripada jumlah itu, Canelo dikatakan meraih £93 juta (RM505.84 juta) menerusi pertarungan dalam gelanggang, manakala £9 juta (RM48.95 juta) lagi daripada luar gelanggang.

Dia menandatangani perjanjian empat perlawanan dengan ketua sukan tinju Arab Saudi, Turki Alalshikh, dianggarkan bernilai sekitar £240 juta (RM1.3 bilion).

Perlawanan pertama menyaksikan kemenangan Canelo melalui keputusan hakim di Riyadh menentang William Scull sebelum pertarungan hebatnya pada September di Las Vegas menentang Terence Crawford.

Canelo, 35, tewas melalui keputusan hakim kepada Crawford, 38, yang mengumumkan persaraan pada Disember selepas menamatkan rekod tanpa kalah 42-0.

Kekalahan itu menyebabkan kemungkinan perlawanan semula menjadi samar, namun Canelo, atlet kedua bergaji tertinggi pada 2025 selepas Cristiano Ronaldo mengumumkan dia akan kembali bertinju pada September selepas menjalani pembedahan pada siku.

Crawford menduduki tempat kedua dalam senarai itu dengan dilaporkan memperoleh £45 juta (RM244.75 juta) menerusi perlawanan lawan Canelo yang disiarkan di Netflix serta £4.4 juta (RM23.93 juta) daripada penajaan.

Empat petinju tersenarai dalam 100 pendapatan tertinggi, dengan dua lagi ialah Naoya Inoue dari Jepun di tempat ke-25 dan bekas YouTuber yang kini petinju, Jake Paul, di tempat ke-30.

Inoue juga menandatangani perjanjian dengan Alalshikh tahun lalu dan untuk empat pertarungan pada 2025 dia meraih £33.5 juta (RM182.21 juta) serta £12.6 juta (RM68.53 juta), menjadikan jumlah pendapatannya £46.1 juta (RM250.79 juta).

Paul pula bertinju dua kali tahun lalu, menewaskan Julio Cesar Chavez Jr pada Jun sebelum tewas melalui KO kepada Anthony Joshua pada Disember.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top