Aaron-Wooi Yik 'bungkus' awal

Aaron-Wooi Yik 'bungkus' awal

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Beregu nombor dua dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dikejutkan dengan kekalahan kepada gandingan ke-28 dunia dari Denmark di pusingan pertama Masters Indonesia, hari ini.

Meskipun bermula baik di set pertama tetapi Aaron-Wooi Yik gagal mengekalkan momentum di dua set seterusnya apabila membiarkan lawan, Daniel Lundgaard-Mads Vestergaard mempamerkan prestasi bertenaga dengan corak permainan pantas untuk mencatat kemenangan 22-20, 21-19, 21-16 dalam masa 63 minit.

Turun selaku pilihan pertama kejohanan, Aaron-Wooi Yik sepatutnya tidak berdepan masalah besar tetapi sebaliknya terjadi dalam aksi tiga set itu selepas wakil negara banyak melakukan kesilapan mudah dan itu memberi peluang buat Lundgaard-Vestergaard mendapatkan mata penting sekali gus mengejutkan beregu utama negara.

Kejayaan ini membolehkan pasangan Denmark itu merapatkan rekod kemenangan selepas tewas dua kali berturut-turut sebelum ini.

Menanti mereka di pusingan kedua Khamis ini sama ada Chen Cheng Kuan-Lin Bing Wei dari Taiwan atau gandingan Jepun, Hiroki Midorikawa-Kyohei Yamashita.

Sementara itu, pasangan Korea Selatan-Malaysia, Choi Sol Gyu-Goh V Shem berjaya mara ke pusingan seterusnya selepas menewaskan wakil Thailand, Lucas Ekarat Wedler-Kittinupong Kedren

24-26, 21-19,21-13.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top