mohamadridzuan@hmetro.com.my
Penantian selama 14 bulan gitaris terkenal, JoBranko untuk memetik gitar Gibson yang dibuat mengikut spesifikasi citarasa sendiri, akhirnya kesampaian.
Ia sekali gus mencatat sejarah apabila gitaris kumpulan Barbarik itu sebagai satu-satunya pemain gitar dari Asia dilantik sebagai duta atas tajaan Music Bliss, yang menghasilkan lapan siri gitar seleksi JoBranko termasuk buatan khas ini.
JoBranko berkata, dia teruja dan gembira apabila gitar idaman yang diimpikan, kini sudah berada dalam genggamannya.
“Sejujurnya, saya tak pernah terfikir boleh sampai ke tahap macam ini. Bermula dengan jenama Gibson, memang itu satu impian saya sejak mula pegang gitar.
“Dari awal saya bermain gitar, saya sudah bayangkan satu hari nanti saya boleh ada pentas dan identiti sendiri. Di pertengahan hingga ke hujung karier, tiba-tiba datang peluang untuk buat ‘endorsement’.
“Ia satu peluang yang sangat besar bagi saya. Bila bercakap tentang Gibson, pilihan saya ini memang berdasarkan pengalaman. Dari segi bunyi dan karakter, Gibson ada sound yang sangat tersendiri,” katanya.
JoBranko berkata, pada pandangan peribadinya, gitar jenama ini memang sesuai untuk muzik rock dan berada pada tahap paling atas.
“Kalau kita lihat band rock antarabangsa, kebanyakannya akhirnya akan kembali kepada Gibson kerana keistimewaan bunyinya yang boleh disesuaikan dengan pelbagai genre dan teknik permainan.
“Gitar ini juga membolehkan seseorang pemain gitar itu dikenali dan diingati. Instrumen gitar sebenarnya bukan mudah. Ia memerlukan pengorbanan yang besar untuk sampai ke satu tahap tertentu.
“Tapi bila kita berjaya cipta sesuatu yang asalnya tidak menjadi, kepuasan itu sangat besar, terutamanya sebagai seorang pemain gitar dan pemuzik,” katanya.
Kata-kata JoBranko ada kebenarannya apabila melihat pada fakta.
Ramai pemain gitar legenda dunia menggunakan jenama ini seperti Jimmy Page dari Led Zeppelin, Tony Iommi (Black Sabbath), Slash (Guns N Roses), Angus Young (AC/DC), Kirk Hammett (Metallica) dan Eddie Van Halen.
Tidak dinafikan peminat rock tanah air pastinya mahu menyaksikan JoBranko beraksi dengan ‘new baby’ ini dalam konsert Pentas Barbarik Volume 2 yang bakal berlangsung di Mega Star Arena, Bukit Bintang, pada 31 Januari ini.
“Secara rasmi gitar ini akan digunakan oleh saya dalam konsert. Perkara menariknya, sebagai pemilik sudah tentu saya seronok dan teruja untuk petik gitar itu nanti.
“Tambah pula ia memang ikut spesifikasi saya sendiri. Dia macam, kadang-kadang kita punya pengikut ini banyak yang main muzik. Jadi mereka tahu apa maknanya, kalau satu benda itu kita bagi lagi detail maklumatnya.
“Seperkara menarik lagi, memang kira konsep 31 Januari ini tak dijangka perjalanannya. Konsert Volume 2 ini, datang pula gitar baru, sedaplah bunyinya, kira melantunlah nanti,” katanya.
Menurutnya, ada banyak perubahan dan ia bukan lagi kesinambungan kepada Konsert Pentas Barbarik Volume 1 seperti yang dikatakan dahulu.
“Sebelum ini saya cakap, saya nak buat 30 peratus sahaja tapi saya rasa akan bagi 100 peratus persembahan terbaik. Saya harap benda ini jadi, macam orang tengok filem, bukannya konsert.
“Tagline saya ‘loud and loose’ itu, simple saja. Mereka nak pergi buang air pun rasa sayang nak tinggalkan. Saya akan pastikan benda ini.
“Pasal kita design show itu bukan macam tipikal artis atau live band. Lepas satu lagu, satu lagu. Saya lebih suka macam buat filem. Dia ada kait-mengait dia sampai orang tak sedar dah habis,” katanya.
Menurutnya lagi, isinya juga bertukar 100 peratus daripada apa yang ditampilkan dalam Volume 1 dan membayangkan ia akan berlangsung selama tiga jam.
“Yang kedua, saya akan ‘propagate’ macam stail 80-an. Dia ada dram solo, dram battle, dia ada bass solo dan semuanya dalam itu. Penampilan Jojet, Black, Eddie dan Mel dalam konsert turut berubah.
“Yang nyata semangat ‘brotherhood’ kekal ada untuk konsep ini. Selagi kita masih ada lagi, tak salah kita nak buat benda-benda yang memang orang nak tengok,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
