firdaushashim@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Peletakan jawatan Ahli Jawatankuasa (Exco) Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada minggu hadapan dianggap langkah tepat dalam menyusun semula struktur baharu badan induk bola sepak negara.
Begitupun, pemerhati bola sepak tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli berharap agar tiadanya ‘pakatan gelap’ dalam pemilihan semula Exco FAM akan datang.
Menurut Pekan, beliau mahu satu barisan ‘kabinet’ baharu dilantik bagi memberi nafas segar dan paling penting meraih semula kepercayaan peminat serta badan induk dunia Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).
“Jangan main ‘wayang’, hari ini letak jawatan tapi kemudian bertanding semula. Amat memalukan dan ia sangat tidak wajar. Isu atau masalah tujuh pemain yang didakwa melakukan kesalahan berlaku ketika era pengurusan sekarang dan sebelum itu (dirancang sebelum Exco sekarang),” katanya ketika dihubungi Arena Metro.
Katanya, pemenang taruh utama khususnya Ahli Gabungan FAM perlu memainkan peranan dan jangan bertindak seperti ‘lembu dicucuk hidung’ kerana merekalah penentu kepada masa depan bola sepak negara.
“Setiap pemegang taruh lebih-lebih ahli gabungan kena membuat pilihan yang betul. Jangan lantik orang yang sama, dan mereka perlu berani buat perubahan.
“Rakyat memerhati tindak tanduk FAM dan sudah tiba masanya ‘orang lama’ yang sering dilantik setiap kali pemilihan Exco dihentikan,” katanya.
Ujarnya lagi, negara tidak pernah ketandusan calon pemimpin baharu yang boleh memimpin FAM.
“Ada saja orang lain di luar boleh memikul tanggungjawab dalam FAM. Jangan cakap tidak ada, jika masih memberi alasan sama, ini bermakna ada sesuatu yang tidak kena.
“Takkan sampai bila-bila orang sama. Pemegang taruh perlu buat perubahan namun jika tetap fikir mahu melantik individu sama, cari yang betul boleh buat kerja”.
Menerusi laporan muka belakang akhbar Harian Metro hari ini, akhbar ini mendedahkan minggu depan dijangka adalah minggu terakhir buat Exco FAM berada di Kelana Jaya apabila dikhabarkan bakal berlakunya peletakan jawatan secara ‘berjemaah’.
Perkembangan terkini di Wisma FAM itu dimaklumkan oleh sumber yang boleh dipercayai apabila mengesahkan barisan Exco bakal meninggalkan badan induk tempatan itu, kemungkinan pada 28 Januari ini atau mungkin awal daripada tarikh itu.
Langkah meletakkan jawatan beramai-ramai penting bagi mengelak FAM digantung oleh FIFA, atas isu kelemahan urus tadbir susulan dakwaan pemalsuan dokumen tujuh pemain Harimau Malaya.
Sekiranya Exco FAM melepaskan jawatan, satu barisan baru boleh dibentuk bagi membolehkan usaha-usaha ‘pemurnian’ dalam urus tadbir FAM dilakukan dan paling penting meraih semula kepercayaan FIFA terhadap badan induk tempatan itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd



