Premis jual arak disyaki tiruan, tidak bercukai di Terengganu kena serbu

Premis jual arak disyaki tiruan, tidak bercukai di Terengganu kena serbu

suharmin.yusuf@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kegiatan penjualan minuman keras disyaki tiruan dan tidak bercukai di Terengganu terbongkar selepas polis menyerbu kedai makan di Kawasan Perindustrian Telok Kalong di Kemaman, pada Rabu.

Komander Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Rosli Md Yusof berkata, serbuan dijalankan hasil risikan berhubung aktiviti penjualan minuman itu di premis terbabit.

“Pemeriksaan menemukan sejumlah besar minuman keras pelbagai jenama yang disyaki tidak bercukai dan sebahagiannya disyaki tiruan.

“Seorang wanita tempatan berusia 48 tahun ditahan di lokasi. Dia dipercayai mengendalikan aktiviti penjualan minuman keras di premis tersebut tanpa lesen perniagaan yang sah,” katanya dalam kenyataan.

Rosli berkata, hasil serbuan, sebanyak 74 kotak minuman keras dirampas untuk siasatan di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 kerana memiliki dan menjual barangan tidak bercukai.

“Kesemua rampasan dianggarkan bernilai RM9,550. Suspek bersama barang rampasan telah diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kemaman untuk siasatan lanjut,” katanya.

Rosli menegaskan bahawa usaha membanteras kegiatan penyeludupan dan penjualan minuman keras tidak bercukai akan diteruskan secara berterusan bagi melindungi kepentingan negara serta keselamatan awam.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top