mohamadridzuan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur : Kerinduan dan ingatan penyanyi Aril Pilus terhadap abangnya, Allahyarham Izwan Pilus tidak pernah padam meskipun genap 14 tahun pemergiannya hari ini.
Perasaan itu dikongsi Aril atau nama sebenarnya Khairil Azam Pilus, 40, menerusi platform media sosialnya.
“Patut la sayu je hari ini. Al-Fatihah abang tersayang. Moga sentiasa dalam lindungan Allah SWT dan rahmat-Nya.
“Semoga ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman.. amin,” tulisnya yang turut disertakan dengan emoji sedih.
Terdahulu Izwan yang popular dengan lagu Kembali Senyum meninggal dunia pada 20 Januari 2012 akibat jangkitan kuman dalam darah dan kencing tikus.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir selepas beberapa jam dimasukkan ke wad di Hospital Ampang, Selangor.
Dalam pada itu, netizen turut sama berkongsi kesedihan yang dilalui oleh Aril.
Menerusi komen-komen, mereka menghadiahkan Al-Fatihah buat Allahyarham. Malah ada yang mengakui amat meminati Izwan menerusi lagu Kembali Senyum dan Indah Lelapku.
© New Straits Times Press (M) Bhd




