anbia@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Bau hanyir darah pekat masih menyelubungi bumi Gaza biarpun gencatan senjata dikuatkuasakan sejak 100 hari lalu.
Hingga kini, tentera Israel masih terus mencabuli gencatan senjata dipersetujui apabila melanggar perjanjian dimeterai sejak 10 Oktober 2025 sebanyak 1,300 kali.
Pengerusi Muslim Care Malaysia – Palestin (MCM-Palestin) Ahmed Abu Ayesh berkata, ibu di Gaza tidak lagi mendodoikan anak dengan nyanyian tidur sebaliknya diganti dengan kalimah syahadah.
“Mereka hanya menunggu giliran untuk dijemput ajal yang datang tanpa amaran dari langit.
“Berdasarkan kenyataan Pejabat Media kerajaan Palestin di Gaza semalam, seramai hampir 500 penduduk Palestin terkorban syahid manakala ribuan lagi cedera atau ditangkap.
“Pihak penjajah Israel terus melakukan pelanggaran serius dan sistematik sejak keputusan gencatan senjata berkuat kuasa pada 10 Oktober 2025 sehingga kini.
“Tindakan itu adalah pelanggaran nyata terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan percubaan sengaja untuk menggugat intipati gencatan senjata serta peruntukan protokol kemanusiaan,” katanya.
Menurutnya, berdasarkan rekod, sebanyak 430 kejadian tembakan dilakukan tentera Israel ke arah penduduk Gaza selain 604 insiden pengeboman dan serangan bersasar sejak 100 hari lalu.
“Selain itu berlaku 66 pencerobohan kenderaan tentera ke dalam kawasan kejiranan dan penempatan penduduk di Gaza.
“Mereka turut merobohkan 200 rumah dan pelbagai bangunan,” katanya.
Abu Ayesh berkata, berdasarkan rekod, seramai 483 mangsa mati syahid dibunuh sepanjang tempoh gencatan senjatan ini,
“Seramai 252 daripada mereka adalah kanak-kanak, wanita, dan warga emas merangkumi 52 peratus mangsa. Manakala 444 mangsa adalah orang awam.
“Mangsa yang tercedera pula adalah seramai 1,287 orang. 752 daripada mereka adalah kanak-kanak, wanita, dan warga emas.
“Tentera Israel terus menerus menceroboh bumi Gaza serta menahan 50 individu di kawasan perumahan yang jauh dari garisan kuning,” katanya.
Menurutnya, secara purata terdapat hanya 261 lori bantuan memasuki Gaza setiap hari berbanding 600 lori yang sepatutnya masuk setiap hari.
“Sehingga kini tentera Israel masih mengenakan pelbagai sekatan ke atas Gaza selain tidak mematuhi garisan pengunduran tentera.
“Mereka enggan membenarkan kemasukan bahan keperluan untuk penyelenggaraan infrastruktur selain peralatan berat untuk membersihkan runtuhan dan mengeluarkan jenazah syuhada,” katanya,
Menurutnya, kemasukan peralatan perubatan, bekalan, dan ubat-ubatan melalui pintu sempadan Rafah turut dihalang.
“Kami menegaskan bahawa tindakan berterusan pencabulan ini adalah satu tindakan membelakangi perjanjian gencatan senjata dan cubaan untuk mengenakan tekanan kemanusiaan melalui penundukkan, kebuluran, dan ugutan.
“Situasi kemanusiaan, kehilangan nyawa dan kemusnahan harta benda masih terus berlaku.
“Tanpa campur tangan komuniti antarabangsa dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) malapetaka kemanusiaan yang semakin meruncing di Semenanjung Gaza akan terus berlaku,” katanya.
PBB saemalam memaklumkan operasi kemanusiaan di Semenanjung Gaza perlu diteruskan walaupun berdepan halangan harian, susulan ribut yang merosakkan ribuan tempat perlindungan serta arahan pemindahan baharu dikeluarkan Israel di beberapa kawasan di Khan Yunis.
Memetik Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA), jurucakap PBB Farhan Haq berkata, PBB dan rakan kerjasamanya “terus membantu mereka yang memerlukan walaupun berdepan halangan harian yang menjejaskan kelajuan dan skala operasi kemanusiaan.”
“Rakan kerjasama kami menganggarkan ribut minggu lalu turut menjejaskan 80 lokasi pemindahan di seluruh Semenanjung Gaza, dengan sekurang-kurangnya 4,000 tempat perlindungan keluarga rosak atau musnah,” katanya sambil menambah lebih 660 keluarga menerima bekalan makanan kecemasan, khemah dan kanvas pelindung.
Difahamkan tentera Israel menjatuhkan risalah di Bani Suheila dan Khan Yunis Timur, yang terletak di timur garisan kuning, mengarahkan penduduk Palestin berpindah serta-merta.
© New Straits Times Press (M) Bhd




