Kesihatan mental bukan isu sampingan tetapi prasyarat lonjakan pendidikan negara

Kesihatan mental bukan isu sampingan tetapi prasyarat lonjakan pendidikan negara

BAYANGKAN seorang pelajar tahun pertama yang masuk universiti dengan semangat berkobar.

Minggu orientasi penuh warna, kawan baharu ramai, jadual kelas padat dan keluarga meletakkan harapan tinggi.

Tetapi beberapa minggu kemudian, semangat itu mula pudar. Tidur tidak menentu, fikiran bercelaru mengenai tugasan bertimbun dan setiap kali membuka media sosial, dia merasakan hidup orang lain jauh lebih ‘menjadi’ daripada dirinya.

Di luar, dia nampak baik. Di dalam, dia sedang bergelut.

Ini bukan kisah terpencil.

Data kebangsaan dan laporan media menunjukkan isu kesihatan mental dalam kalangan pelajar sekolah dan mahasiswa semakin ketara, bukan sekadar ‘stress biasa’.

Laporan Tinjauan Kesihatan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) yang dirujuk Kementerian Kesihatan menunjukkan peningkatan masalah kesihatan mental dalam kumpulan pelajar dan belia, dengan kadar yang dilaporkan meningkat daripada 7.9 peratus (424,000 orang) pada 2019 kepada 16.5 peratus (922,318 orang) pada tahun 2023.

Dalam masa sama, isu seperti kegelisahan, konflik keluarga, buli dan kemurungan turut dikaitkan dengan peningkatan ketidakhadiran ke sekolah, satu petunjuk awal bahawa kesejahteraan emosi memberi kesan langsung kepada kehadiran dan pembelajaran.

Apabila pelajar hilang daya untuk hadir, fokus dan motivasi, impaknya bukan sahaja pada keputusan peperiksaan, tetapi pada masa depan mereka sebagai bakat negara.

Isu ini pula berkembang dalam lanskap semasa yang makin mencabar.

Tahun 2025 menyaksikan perbincangan awam mengenai tekanan akademik, beban perbandingan di media sosial, buli siber dan rasa takut ketinggalan yang semakin ‘normal’ dalam kehidupan remaja dan belia.

Kita juga sedang melalui fasa perubahan besar dalam pendidikan dan pekerjaan, termasuk ledakan teknologi dan kemahiran baharu yang menuntut pelajar sentiasa pantas dan serba boleh.

Dalam suasana begini, pelajar mudah menganggap mereka perlu sentiasa kuat, sedangkan otak dan emosi juga perlukan rehat, sokongan dan ruang untuk pulih.

Dalam kerangka pembaharuan negara pula, Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026 hingga 2035 yang menggariskan 10 lonjakan strategik tampil sebagai kompas baharu pendidikan tinggi untuk sedekad akan datang.

Rancangan ini membawa satu matlamat besar, iaitu melahirkan pembina negara yang berpaksikan kemanusiaan dan dipacu matlamat dan ia telah dilancarkan di peringkat nasional oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 20 Januari 2026.

Justeru, perbincangan mengenai kesihatan mental dan kesejahteraan pelajar bukan sekadar isu kebajikan, tetapi asas penting supaya segala lonjakan yang dirancang boleh berfungsi di kampus.

Sebab itu, apabila Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026 hingga 2035 meletakkan Lonjakan Satu sebagai “Pembelajar Berpaksikan Kemanusiaan, Inovatif, Berciri Keusahawanan dan Adaptif”, mesejnya sangat jelas.

Pendidikan tinggi tidak boleh lagi diukur semata mata pada gred, pencapaian atau bilangan aktiviti.

Ia mesti membina manusia yang seimbang, yang tahu mengurus emosi, berdaya tahan dan mampu membuat keputusan yang baik untuk diri serta masyarakat.

Jika kita mahu melahirkan pembelajar yang ‘berpaksikan kemanusiaan’, kesihatan mental dan kesejahteraan tidak boleh dipinggirkan, apatah lagi dianggap isu kecil.

Hubungan antara Lonjakan Satu RPTM dan kesihatan mental sebenarnya sangat rapat.

Pelajar yang adaptif bukan pelajar yang tidak pernah jatuh, tetapi pelajar yang tahu bangkit dengan cara yang sihat.

Pelajar yang inovatif bukan hanya pandai mencipta idea, tetapi berani mencuba tanpa takut dihukum bila tersilap.

Pelajar berciri keusahawanan bukan sekadar pandai menjual produk, tetapi berani mengurus risiko, emosi dan tekanan.

Semua ciri ini memerlukan asas yang sama, iaitu kesejahteraan psikologi.

Tanpa asas itu, pelajar mungkin kelihatan cemerlang di atas kertas, namun rapuh di dalam dan akhirnya tewas dalam senyap.

Jadi, apa maksudnya “berpaksikan kemanusiaan” dalam kampus, secara nyata dan mudah difahami?

Pertama, universiti perlu melihat kesejahteraan pelajar sebagai sebahagian daripada reka bentuk pembelajaran, bukan sekadar perkhidmatan sampingan.

Beban tugasan, jadual penilaian dan budaya ‘last minute’ boleh dinilai semula supaya lebih seimbang.

Fleksibiliti yang munasabah, contohnya pilihan laluan pembelajaran dan sokongan akademik yang cepat, boleh mengurangkan tekanan yang tidak perlu, tanpa menurunkan kualiti pembelajaran.

Kedua, sokongan kesihatan mental mesti mudah dicapai dan mesra pelajar. Bukan semua pelajar berani melangkah berjumpa kaunselor jika suasananya terasa menghukum atau memalukan.

Universiti boleh memperkasa pendekatan yang lebih dekat dengan pelajar seperti literasi emosi, kemahiran mengurus stres, serta sistem rakan pembimbing yang dilatih secara asas untuk mengesan tanda awal pelajar yang sedang bergelut.

Dalam masa sama, pensyarah dan staf barisan hadapan juga wajar diberi latihan dalam berkomunikasi supaya mereka tahu bagaimana untuk memberi respon yang betul apabila pelajar memerlukan bantuan, kerana kadang-kadang satu ayat yang tepat daripada seorang pensyarah boleh mengubah seluruh pengalaman belajar seseorang.

Ketiga, kita perlu akui bahawa dunia digital adalah sebahagian besar punca tekanan zaman sekarang.

Pelbagai bukti menunjukkan peranan media sosial, perbandingan sosial dan buli siber dalam memburukkan tekanan emosi belia.

Maka, literasi digital bukan hanya mengenai keselamatan siber dan kemahiran aplikasi, tetapi juga batas sihat, cara mengurus masa skrin dan keberanian untuk berehat tanpa rasa bersalah.

Ini selari dengan semangat Lonjakan Satu RPTM yang mahu pelajar membina nilai, etika dan keseimbangan diri, bukan sekadar mengejar kelajuan.

Akhirnya, kita perlu mengubah cara kita bercakap mengenai kejayaan.

Dalam banyak keluarga, ‘kejayaan’ masih bermaksud pointer tinggi dan cepat bergraduasi, walaupun tubuh dan emosi pelajar sedang nazak.

Sedangkan negara memerlukan pembina masa depan yang boleh berfikir waras, membuat keputusan baik dan bertahan dalam cabaran dunia sebenar.

RPTM sudah memberi hala tuju yang betul, iaitu memanusiakan pendidikan tinggi melalui Lonjakan Satu.

Hanya tinggal kita menyambutnya dengan tindakan yang konsisten di kampus, di rumah dan dalam masyarakat.

Jika kita benar benar serius mahu melahirkan generasi pembelajar yang adaptif, inovatif dan berjiwa besar, kita mesti bermula dengan perkara paling asas iaitu memastikan mereka sihat dari segi emosi, rasa selamat untuk belajar dan tahu bahawa meminta bantuan bukan tanda lemah, tetapi tanda matang.

Kesihatan mental bukan ‘isu sampingan’ pendidikan tinggi. Ia adalah prasyarat kepada semua lonjakan yang kita impikan.

Penulis adalah Pegawai Komunikasi Korporat, Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat, Universiti Putra Malaysia (UPM)

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top