Barcelona: Pemain tengah Barcelona, Pedri Gonzalez, dijangka terpaksa berehat kira-kira sebulan selepas mengalami kecederaan hamstring, menurut kenyataan rasmi juara Sepanyol itu hari ini.
Pedri terpaksa dikeluarkan pada separuh masa kedua ketika Barcelona mencatat kemenangan 4-2 ke atas Slavia Prague dalam aksi Liga Juara-Juara, Rabu lalu.
“Ujian yang dijalankan pagi ini mengesahkan pemain pasukan utama, Pedri, mengalami kecederaan otot pada hamstring kanan,” menurut kenyataan kelab itu.
“Tempoh pemulihan dianggarkan selama sebulan.”
Pemain antarabangsa Sepanyol berusia 23 tahun itu bakal terlepas perlawanan terakhir fasa liga Eropah menentang Copenhagen minggu depan, selain aksi La Liga berdepan Real Oviedo, Elche, Girona dan Mallorca.
Sekiranya Barcelona menewaskan kelab divisyen dua, Albacete dalam saingan Copa del Rey pada 3 Februari, Pedri juga dijangka terlepas aksi separuh akhir pertama kejohanan itu pada minggu berikutnya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




