suharmin.yusuf@hmetro.com.my
Shah Alam: Ketiadaan penyata gaji dan bayaran di bawah kadar gaji minimum antara keluhan utama pekerja sambilan yang dikesan dalam serbuan di sebuah premis syarikat perkhidmatan kurier di Seksyen 21, di sini, malam tadi.
Operasi bermula kira-kira jam 8 malam itu dijalankan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Selangor dan turut disertai wartawan Harian Metro.
Tinjauan di lokasi mendapati gudang berkenaan menggaji pekerja tetap termasuk pekerja sambilan yang bekerja melalui ejen dalam kalangan warga tempatan dan warga asing.
Sebahagian pekerja sambilan mendedahkan tidak memiliki surat tawaran kerja atau penyata gaji, sebaliknya hanya bergantung kepada ejen untuk mendapatkan bayaran.
Seorang pekerja sambilan warga Pakistan, Rodzi, 30, berkata dia sudah enam tahun berada di Malaysia dan baru tiga bulan bekerja di gudang berkenaan selepas mengikut rakan.
Menurutnya, dia dibayar RM60 sehari bagi tempoh kerja lapan jam dengan syif siang dan malam yang bertukar mengikut minggu.
“Saya hanya cuti dua hari sebulan dan tidak pernah ada penyata gaji atau surat tawaran kerja,” katanya kepada Harian Metro.
Rodzi memaklumkan bayaran gaji dibuat secara tunai antara 5 hingga 10 hari bulan setiap bulan kerana bekerja di bawah ejen.
“Untuk ke tempat kerja, saya berulang-alik dengan naik basikal atau berjalan kaki bagi menjimatkan perbelanjaan harian.
“Sebahagian gaji saya, kira-kira RM1,000 hantar ke kampung halaman di Pakistan,” katanya.
Dia turut meluahkan rasa tidak puas hati kerana menganggap gaji RM60 sehari tidak mencukupi untuk menampung kos sara hidup di Malaysia.
Seorang lagi pekerja sambilan warga tempatan, Amri, 36, berkata dia bekerja di gudang berkenaan sejak Jun tahun dan juga berada di bawah ejen.
Katanya, kadar bayaran diterima RM60 sehari dan meningkat kepada RM70 pada hari kelepasan am, dengan bayaran dibuat sama ada secara harian atau mingguan.
“Gaji masuk terus ke akaun bank, tapi tiada penyata gaji,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd



