SPRM syor 7 penambahbaikan urus tabung masjid, surau bawah seliaan MAINPP

SPRM syor 7 penambahbaikan urus tabung masjid, surau bawah seliaan MAINPP

suharmin.yusuf@hmetro.com

Georgetown: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang syor tujuh cadangan penambahbaikan tatakelola kepada Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) bagi memperkukuh pengurusan tabung masjid dan surau di bawah seliaannya.

SPRM dalam kenyataan memaklumkan, fokus utama syor itu merangkumi penjelasan kategori kerja penyelenggaraan dan naik taraf, penetapan had nilai perolehan yang lebih kemas, selain mewujudkan kaedah pemilihan syarikat yang standard serta telus.

“Cadangan lain, memaparkan maklumat perolehan kepada masyarakat, penambahbaikan borang Lafaz Ikrar Jawatankuasa Kariah dan Pegawai Masjid, penubuhan Jawatankuasa Khas pemantauan perolehan.

“Selain itu, pewartaan prosedur operasi standard (SOP) kepada semua masjid dan surau di seluruh negeri bagi memastikan pelaksanaan yang seragam,” kata kenyataan itu, malam ini.

Menurut kenyataan SPRM, cadangan penambahbaikan itu adalah berdasarkan kepada hasil penemuan daripada pemeriksaan Kertas Penyiasatan Tatakelola (KPT) SPRM Pulau Pinang mengenai kelemahan dalam amalan, sistem dan tatacara kerja.

“Ia berhubung pengurusan tabung masjid dan surau bagi tujuan pembinaan, mengubah suai serta menaiktaraf di bawah MAINPP yang dapat membuka ruang dan peluang berlakunya rasuah serta salah guna kuasa,” katanya.

Katanya, kesemua syor itu telah dibentangkan oleh Pengarah SPRM Pulau Pinang, Datuk Karunanithy Y. Subbiah kepada MAINPP yang disambut baik oleh Setiausaha MAINPP, Datuk Rosidi Hussain pada majlis yang diadakan di pejabat MAINPP di sini, semalam.

Hadir sama, Pengurus Baitulmal MAINPP, Abu Mansur Maturidi Mohd Romli; Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang, Datuk Marzuki Hassan; wakil Bahagian Pengurusan Masjid, Norzli Mat dan Juruaudit MAINPP, Muhammad Safwan Zakaria.

Manakala SPRM Pulau Pinang dihadiri oleh Timbalan Pengarah Pencegahan, Chin Chen Huat; Ketua Cawangan Penyiasatan Tatakelola (CPT), Muhamad Shawal Rizal Saidin serta pegawai-pegawai SPRM Pulau Pinang.

Sementara itu, Rosidi berkata, pihaknya komited untuk melaksanakannya secara berperingkat demi memastikan pengurusan tabung masjid dan surau lebih telus, berintegriti serta berakauntabiliti.

Untuk rekod, dalam sesi sama, turut diadakan sesi menandatangani Laporan Penambahbaikan Tatakelola antara SPRM Pulau Pinang dan MAINPP.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top