Bahan berkualiti kukuh bangunan sejarah ratusan tahun

Bahan berkualiti kukuh bangunan sejarah ratusan tahun

mahaizura@mediaprima.com.my

DALAM dunia pembinaan hari ini, keputusan antara cepat siap dan tahan lama sering menentukan nasib sesebuah bangunan.

Di sebalik tekanan kos, jadual penyiapan dan margin keuntungan, faktor paling kritikal sering ditentukan pada peringkat awal iaitu pemilihan bahan binaan.

Sejarah menunjukkan, bangunan yang bertahan puluhan, ratusan malah ribuan tahun tidak dibina dengan material termurah untuk memastikan ketahanannya.

Dengan kualiti bahannya, ia mampu terus ‘berkhidmat’ tanpa membebankan manusia selepasnya.

Justeru, pemerintah dan pembina bangunan berkaitan sanggup menanggung kos tinggi di peringkat awal demi ketahanan jangka panjang, walaupun mengambil masa bertahun-tahun untuk disiapkan.

Misalnya, Masjidil Haram dan Masjid Nabawi di Arab Saudi menggunakan marmar berkualiti tinggi yang diuji secara saintifik.

Material itu bukan sekadar cantik, namun tahan haba, geseran dan lasak digunakan jutaan jemaah setiap tahun.

Sudah tentu kosnya mahal dan logistiknya rumit, namun pulangannya ialah penyelenggaraan jangka panjang yang minimum.

Di Turkiye, Hagia Sophia pula menjadi bukti pemilihan bahan tepat boleh mengatasi zaman.

Batu ringan pumice dan mortar fleksibel yang digunakan membolehkan struktur itu bertahan daripada gempa bumi, aspek yang menjadi cabaran besar dalam pembinaan moden hari ini.

Selain itu, isu seperti retakan dinding awal, kebocoran, jubin tertanggal, konkrit rapuh dan sistem saliran gagal sering muncul dalam tempoh singkat selepas rumah diserahkan kepada pemilik.

Dalam banyak kes, puncanya bukan reka bentuk semata-mata, namun material yang dipilih murah dan tidak sesuai untuk jangka panjang.

Di Vatican, St Peter’s Basilica menampilkan pendekatan berbeza apabila struktur gangsa dan marmar dibina untuk membawa makna simbolik, namun pada masa sama cukup kukuh bagi menampung struktur gergasi berabad lamanya.

Ia mengajar satu prinsip penting, hakikatnya bahan binaan bukan hanya soal fungsi, namun tanggungjawab terhadap masa depan.

Begitu juga Taj Mahal di India yang menggunakan marmar Makrana dan batu separa berharga.

Bukan kerana kemewahan semata-mata, malah ketahanannya terhadap cuaca dan perubahan suhu.

Hingga ke hari ini, struktur binaan itu hanya memerlukan pemuliharaan, bukan pembaikan struktur besar-besaran.

Ini membuktikan bangunan yang bertahan ratusan tahun dibina untuk kegunaan generasi selepasnya.

Dalam konteks perumahan moden, persoalan sama ada penjimatan hari ini sebenarnya memindahkan kos kepada pembeli pada masa depan sering bermain di fikiran.

Pedih, namun inilah hakikatnya apabila rumah yang dibina dengan material murah mungkin menyebabkan penurunan harga jualan awal, namun kos pembaikan, penyelenggaraan dan ketidakselesaan sering ditanggung pemilik selepas tempoh liabiliti tamat.

Kesimpulannya, sejarah sudah membuktikan pelaburan kepada bahan berkualiti, walaupun lebih mahal kosnya, sememangnya mampu mengurangkan kerosakan awal, memanjangkan jangka hayat bangunan dan mengekalkan nilai hartanah.

Bahan binaan ‘rare’ bangunan ikonik dunia

1. Masjidil Haram

Jenis bahan: Marmar putih berkualiti tinggi

Asal: Import dari Eropah termasuk Greece dan Itali

Keunikan: Tahap pantulan haba sangat tinggi (tidak menyerap panas)

Kekal sejuk walaupun suhu persekitaran melebihi 45 darjah Celsius

Tahan geseran tinggi akibat jutaan langkah jemaah

2. Masjid Nabawi

Jenis bahan: Marmar pelbagai tona dan logam hiasan

Asal: Marmar import dari beberapa negara termasuk Eropah dan Asia Barat

Keunikan: Kolum marmar berfungsi menyembunyikan sistem pengudaraan dan mekanikal

Gabungan bahan tradisional dan teknologi moden

3. Hagia Sophia

Jenis bahan: Marmar empayar Byzantine, batu ringan pumice (batu lava berliang) dan mortar khas berasaskan kapur

Asal: Marmar dari wilayah dalam Empayar Byzantium (Turki, Greece, Mediterranean)

Keunikan teknikal: Batu ringan mengurangkan beban kubah besar

Mortar fleksibel membolehkan bangunan menyerap gegaran gempa

Ketahanan struktur lebih 1,500 tahun

4. St Peter’s Basilica

Jenis bahan: Gangsa (bronze), marmar carrara, besi dan emas

Asal: Marmar Carrara – Itali, Gangsa -Eropah termasuk leburan semula struktur Rom lama

Struktur utama: Baldachin Bernini setinggi hampir 29 meter

Pembinaan untuk ketahanan berabad-abad

5. Taj Mahal

Jenis bahan: Marmar putih Makrana, batu separa berharga (pietra dura)

Asal: Marmar Makrana – Rajasthan, India

Inlay batu – Asia Tengah dan Timur Tengah

Keunikan: Marmar berubah tona ikut cahaya matahari

Teknik inlay memerlukan ketelitian ekstrem

Ketahanan cuaca jangka panjang

6. Notre-Dame Cathedral

Jenis bahan: Batu kapur Lutetian, rangka kayu oak purba

Asal: Batu kapur – Paris

Kayu oak berusia ratusan tahun – hutan Perancis

Keunikan: Struktur kayu dibina tanpa paku moden

Setiap rasuk dipotong khas

Ketahanan berabad, namun rapuh terhadap kebakaran

7. Angkor Wat

Jenis bahan: Batu pasir

Asal: Kuari tempatan dan wilayah sekitar Kemboja

Keunikan teknikal: Dibina tanpa mortar

Sistem kunci graviti dan potongan tepat

Ketahanan struktur melalui imbangan berat

Bukti kejuruteraan purba yang masih dikaji hingga kini

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top