Raikan pembukaan musim baharu Malaysian Philharmonic Orchestra (MPO) yang kini melangkah ke tahun ke-28 dengan kelainan istimewa menerusi tayangan filem komedi klasik Madu Tiga yang diiringi persembahan muzik secara langsung. Konsert bertemakan P. Ramlee’s Madu Tiga: Live In Concert ini akan berlangsung pada Jumaat, 23 Januari 2026 dan Sabtu, 24 Januari 2026, bermula jam 8.00 malam di Dewan Filharmonik PETRONAS (DFP), KLCC.
Menurut penganjur, tiket bagi persembahan pada 24 Januari 2026 semakin terhad. Justeru, satu lagi tarikh konsert telah ditambah pada 23 Januari 2026 bagi memenuhi permintaan penonton.
Ini merupakan kali kedua MPO mengiringi tayangan filem tempatan secara ‘live’. Sebelum ini, MPO pernah mempersembahkan muzik runut bunyi secara langsung untuk tayangan OlaBola pada 2017. MPO juga mempunyai pengalaman luas mengiringi beberapa filem Hollywood termasuk siri Harry Potter, La La Land (2024), Raiders of the Lost Ark (2019), Ratatouille (2016), Casablanca (2015), Home Alone (2014) dan Psycho (2010).

Madu Tiga cukup dikenali kerana satira komedinya yang tajam, diolah melalui pengarahan dan lakonan cemerlang ikon negara, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee. Filem terbitan tahun 1964 oleh Malay Film Productions di bawah Shaw Brothers di Singapura itu turut meraih pengiktirafan apabila memenangi anugerah Filem Komedi Terbaik di Pesta Filem Asia di Taipei pada tahun sama. Selain P. Ramlee, karya ini turut menampilkan Dato’ Sarimah, Zahara Agus, Jah Haji Mahadi dan Ahmad Nisfu.
Jalan ceritanya berkisar tentang Jamil yang berkahwin untuk kali kedua dan ketiga, sebelum tercetus pelbagai kekecohan apabila ketiga-tiga isterinya saling mengenali dan akhirnya menuntut penjelasan daripada Jamil. Filem ini turut diserikan dengan rangkaian lagu malar segar nyanyian P. Ramlee dan Saloma seperti Pukul Tiga Pagi, Selamat Pengantin Baru, Gambus Jodoh dan Madu Tiga.
Bagi konsert ini, MPO akan dipimpin oleh konduktor Ahmad Muriz Che Rose. Persembahan ini menjanjikan pengalaman apresiasi muzik yang berbeza apabila penonton dapat menikmati karya klasik di skrin besar dalam suasana dewan konsert, sambil MPO menghidupkan runut bunyi serta muzik secara seiring dengan lakonan dan nyanyian dalam filem.
Inisiatif ini juga dilihat sebagai usaha MPO untuk menarik penonton baharu, khususnya golongan muda, selain mendekatkan jenama MPO kepada rakyat Malaysia melalui keupayaan dan versatiliti orkestranya.
Hayati semula pesona Madu Tiga dalam sebuah konsert unik bersama MPO, hanya di DFP.




