Rabat: Raja Maghribi, Mohammed VI, menegaskan persaudaraan Afrika akan mengatasi segala ketegangan susulan insiden yang disifatkannya sebagai ‘amat dikesali’ yang mencemari minit akhir perlawanan final Piala Negara-Negara Afrika antara Maghribi dan Senegal.
Dalam aksi final itu, pemain Senegal dilaporkan meninggalkan padang sebagai tanda protes terhadap keputusan penalti menerusi Video Bantuan Pengadil (VAR) sebelum kembali beraksi dan menewaskan tuan rumah Maghribi 1-0 selepas masa tambahan.
Keputusan penalti berkenaan turut mencetuskan kekecohan apabila sekumpulan penyokong Senegal bertembung dengan pasukan keselamatan Maghribi ketika cuba memasuki padang.
Dalam satu kenyataan istana, Raja Mohammed VI menyifatkan perlawanan itu dicemari ‘insiden yang dikesali’ serta ‘tingkah laku yang tidak wajar’.
“Apabila semangat dan emosi sudah reda, persaudaraan sesama Afrika pasti akan kembali mengatasi segalanya,” katanya.
Beliau menegaskan tiada apa yang mampu menjejaskan hubungan erat yang terjalin sekian lama antara negara-negara Afrika, termasuk kerjasama berterusan yang diperkukuhkan menerusi perkongsian strategik di benua itu.
Senegal sebelum ini dikenal sebagai antara sekutu rapat Maghribi di Afrika, dengan syarikat serta institusi kewangan Maghribi giat memperluaskan pelaburan sejak beberapa tahun lalu, sekali gus mengukuhkan pengaruh diplomatik negara itu.
Raja Mohammed VI turut menyifatkan kejohanan berkenaan sebagai platform mempamerkan pembangunan Maghribi dan satu kejayaan untuk seluruh benua Afrika.
Sementara itu, Konfederasi Bolasepak Afrika (CAF) memaklumkan pihaknya akan mengambil ‘tindakan sewajarnya’ selepas meneliti insiden perlawanan, manakala Presiden FIFA, Gianni Infantino, mengecam tingkah laku pemain serta barisan kejurulatihan Senegal.
© New Straits Times Press (M) Bhd




