'Saya sihat untuk melalui proses ini' – bekas PTD

'Saya sihat untuk melalui proses ini' – bekas PTD

hafidzul@hmetro.com.my

Shah Alam: Bekas Panglima Tentera Darat (PTD) menzahirkan rasa syukur dan tenang ketika ditemui pihak media sejurus selesai prosiding pertuduhan ke atas dirinya di mahkamah, hari ini.

Ketika ditanya mengenai keadaan emosi dan kesihatannya, beliau memaklumkan bahawa beliau berada dalam keadaan baik untuk berhadapan dengan proses perundangan yang sedang berjalan.

“Alhamdulillah, hari ini saya sihat untuk melalui proses ini,” katanya ringkas ketika ditemui di perkarangan mahkamah.

Dalam pada itu, beliau turut berkongsi perkembangan mengenai isterinya yang dilaporkan mengalami masalah kesihatan.

Menurutnya, isterinya mengalami jangkitan bisul kronik (chronic boil) yang memerlukan rawatan segera.

“Sebenarnya dia (isteri) mengalami jangkitan bisul kronik dan baru sahaja pecah. Sepatutnya dia perlu menjalani pembedahan, namun terpaksa melalui proses mahkamah terlebih dahulu. Kami berharap dapat merujuknya ke hospital dengan segera,” katanya.

Mengulas mengenai pertuduhan yang bakal dihadapi oleh isterinya, beliau memaklumkan bahawa tarikh pertuduhan tersebut asalnya dijadualkan pada Rabu depan.

Walau bagaimanapun, pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberikan kerjasama yang baik dengan membenarkan perubahan tarikh bagi memberi laluan kepada rawatan isterinya.

“Pihak SPRM telah berbaik hati untuk bertolak ansur (accommodate) dengan masalah kesihatan yang dihadapinya. Oleh itu, pertuduhan akan dilakukan lebih awal,” katanya.

Terdahulu bekas PTD itu hadir ke mahkamah hari ini bagi menghadapi dua lagi pertuduhan yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan.

Semalam, Muhammad Hafizuddeain, 58, didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas empat pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram lebih RM2.12 juta.

Muhammad Hafizuddeain bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas keempat-empat pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim

Azura Alwi.

Rabu lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kenyataan memaklumkan Muhammad Hafizuddeain dan isterinya Salwani Anuar@Kamaruddin, masing-masing akan didakwa dengan empat pertuduhan mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) di Mahkamah Khas Rasuah Kuala Lumpur.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top