Satu gol, satu schnitzel buat Kane

Satu gol, satu schnitzel buat Kane

Berlin: Penyerang Bayern Munich, Harry Kane, mendedahkan motivasi unik di sebalik musim cemerlangnya bersama gergasi Jerman itu, schnitzel bagi setiap gol yang dijaringkan.

Selepas mencatat separuh musim pembukaan terbaik dalam sejarah Bundesliga, Bayern bakal menerima kunjungan seteru Bavaria, Augsburg, esok.

Dengan hanya satu kekalahan dalam 29 perlawanan, Bayern kini memburu treble ketiga bersejarah, terbanyak berbanding mana-mana pasukan Eropah.

Dalam Bundesliga, Bayern hanya tercicir empat mata, menyamai rekod terbaik pada tahap ini musim ini, selain menjaringkan 71 gol pada purata 3.94 gol setiap perlawanan.

Skuad kendalian Bayern itu mendahului liga dengan kelebihan 11 mata, sudah mengesahkan tempat ke pusingan 16 Liga Juara-Juara dengan satu perlawanan berbaki, selain mara ke suku akhir Piala Jerman.

Kapten England itu berkata sebuah restoran tempatan berhampiran kediamannya di selatan Munich akan menghantar hidangan kegemarannya, schnitzel, setiap kali dia menjaringkan gol.

Dengan 34 gol musim ini, termasuk 21 dalam liga, Kane mengakui tabiat itu secara tidak langsung memberi ‘cuti’ kepada cef peribadinya.

“Ia seperti satu amalan,” kata Kane.

“Saya tak makan semua schnitzel itu, tetapi ia tetap dihantar dan saya, keluarga atau sesiapa yang ada di rumah akan menikmatinya.”

Kane berkata, amalan itu membuatkannya berasa lebih dekat dengan komuniti setempat, namun mengakui pemilik restoran itu ‘mungkin tidak menjangka saya menjaringkan sebanyak ini’.

Dalam wawancara bersama akhbar Jerman TZ, pemilik restoran yang juga penyokong tegar Bayern berkata, dia sendiri menghantar schnitzel itu kepada Kane sambil memberitahu pengawal keselamatan: “Hai, saya lelaki schnitzel.”

“Pada mulanya hanya sebagai tanda sokongan, tetapi kini ia sudah menjadi kebiasaan,” katanya, sambil menegaskan ganjaran itu tidak terpakai untuk gol Kane bersama pasukan kebangsaan England.

Selepas menamatkan kemarau trofi berpasukan dengan gelaran Bundesliga musim lalu, Kane kini jelas mahu lebih banyak kejuaraan.

Dengan 21 gol liga, Kane berada di landasan untuk mencabar rekod satu musim Bundesliga milik Robert Lewandowski iaitu 41 gol yang dicatat pada musim 2020-21.

Dalam perkembangan lain, pasukan tangga kedua Borussia Dortmund berdepan ujian getir apabila bertandang ke Union Berlin, dalam usaha bangkit selepas kekalahan mengecewakan di Liga Juara-Juara menentang Tottenham Hotspur.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top