Elavarasan tak mahu Melaka FC leka, zon penyingkiran jadi keutamaan

Elavarasan tak mahu Melaka FC leka, zon penyingkiran jadi keutamaan

mohdsyazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Melaka FC tidak mahu hanyut terlalu lama dengan kejayaan melangkah ke suku akhir Piala Malaysia apabila pengendali pasukan itu, E Elavarasan menegaskan fokus utama kini adalah saingan Liga Super.

Menurutnya, persiapan lebih rapi akan dilakukan bagi memastikan pasukan berada dalam keadaan terbaik menjelang pertembungan penting menentang DPMM FC di tempat lawan pada 31 Januari ini.

Elavarasan berkata, pasukannya mempunyai tempoh sembilan hari untuk membuat persiapan dan tumpuan sepenuhnya akan diberikan kepada aksi liga.

“Kita perlu fokus pada perlawanan seterusnya dan kita ada sembilan hari lagi sebelum menentang DPMM FC. Kita tidak fikir lagi mengenai aksi Piala Malaysia yang seterusnya.

“Liga juga amat penting untuk kita kerana pasukan masih berada di kelompok bawahan dan berada berhampiran zon penyingkiran. Kita perlu keluar daripada zon penyingkiran,” katanya.

Ketika ini, Melaka FC menghuni tangga ke-12 Liga Super dengan sembilan mata hasil dua kemenangan dan tiga keputusan seri selepas 14 perlawanan.

Kedudukan itu menyaksikan Melaka hanya tiga mata mengatasi pasukan tercorot, PDRM FC. Pada masa sama, mereka turut ketinggalan lima mata di belakang pasukan di tangga ke-11,

Kelantan The Real Warriors. Mengulas kejayaan menewaskan Sabah FC 3-0 di Stadium Likas sekali gus mara ke suku akhir Piala Malaysia dengan agregat 5-2, Elavarasan mengakui pasukannya memanfaatkan sepenuhnya kelebihan yang dimiliki.

Beliau berkata, kehilangan seorang pemain dalam kem Sabah FC menjadi faktor penting yang membuka ruang kepada pasukannya untuk mencipta jaringan.

“Saya rasa kita ada kelebihan apabila Sabah FC kehilangan seorang pemain dan ketika itu, kita berjaya mendapatkan jaringan. Itu yang menjadi perbezaan kerana mereka agak longgar di bahagian pertahanan,” katanya.

“Jadi kita agak bertuah dengan kelebihan yang ada dan mendapat keputusan sebegini,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top