Masih ada pelajar tahfiz tak cukup syarat, sukar lanjut pelajaran

Masih ada pelajar tahfiz tak cukup syarat, sukar lanjut pelajaran

am@hmetro.com.my

Putrajaya: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengakui masih terdapat sebahagian pelajar tahfiz yang tidak mengikuti subjek pendidikan akademik sekali gus menjejaskan peluang mereka untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Sirajuddin Suhaimee, berkata, pendekatan pemulihan sedang dilaksanakan melalui kerjasama rapat dengan pihak berkuasa agama negeri serta institusi pendidikan bagi memastikan pelajar terbabit mendapat akses kepada pendidikan yang sewajarnya.

Katanya, usaha itu dilaksanakan di bawah Jawatankuasa Pendidikan Islam Kebangsaan (RKI) dengan penekanan terhadap program sokongan, pemulihan akademik serta penyelarasan kurikulum, khususnya membabitkan Sekolah Agama Rakyat (SRA), sekolah pondok dan institusi tahfiz.

“Fokus utama ialah memastikan pendidikan wajib dapat dilaksanakan secara bersama supaya pelajar tahfiz tidak terpinggir, sebaliknya diberikan laluan yang jelas untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan media pada Program Temu Bual Khas Ketua Pengarah JAKIM bersama media berkaitan hala tuju JAKIM 2026, di sini, semalam.

Selasa lalu, media melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026–2035 yang menetapkan semua aliran sekolah, termasuk sekolah antarabangsa, sekolah agama dan aliran Sijil Peperiksaan Bersama (UEC), diwajibkan mengambil subjek Bahasa Melayu dan Sejarah dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Perdana Menteri turut mengarahkan Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) membentangkan pelan serta laporan pelaksanaan RPN bermula akhir Mac depan.

Mengulas lanjut, Sirajuddin berkata JAKIM akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa agama negeri melalui RKI bagi melaksanakan program intervensi yang membolehkan pelajar tahfiz dan pondok memperoleh pendidikan wajib secara lebih menyeluruh.

Katanya, perkara itu menjadi salah satu hala tuju JAKIM 2026 yang akan turut memberi tumpuan kepada usaha islah institusi pendidikan Islam, penambahbaikan standard pengiktirafan tahfiz negara.

“Ia penting bagi memastikan pelajar mempunyai peluang melanjutkan pelajaran selepas tamat pengajian di institusi tahfiz atau pondok,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top