PPM rampas dua kepala kambing gurun bernilai RM20,000, pemilik ditahan

PPM rampas dua kepala kambing gurun bernilai RM20,000, pemilik ditahan

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Dua kepala hidupan liar disyaki kambing gurun bernilai RM20,000 dirampas dalam serbuan di sebuah rumah sembelihan di Maran, Pahang pada Khamis lalu.

Serbuan itu dilakukan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 3 Kuantan sebelum rampasan diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) untuk tindakan lanjut.

Ketua Pengarah PERHILITAN, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, pemeriksaan di dalam peti ais di premis berkenaan oleh anggota PPM juga menemui beg plastik mengandungi kulit disyaki kambing gurun selain 13 plastik berisi daging yang belum dikenal pasti.

“Pemilik mengaku semua itu miliknya namun gagal menunjukkan dokumen pemilikan sah.

“Anggota PPM kemudian menerangkan kesalahan yang dilakukan mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716),” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, seorang lelaki tempatan berusia 30-an yang juga pemilik rumah sembelihan berkenaan ditahan dan direman tujuh hari sehingga 29 Januari ini untuk siasatan lanjut.

Menurutnya, semua rampasan berkenaan termasuk telefon bimbit dianggarkan bernilai RM38,250. Katanya, anggota PPM kemudian menyerahkan barang sitaan kepada PERHILITAN di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Maran kira-kira 11.30 malam untuk tindakan susulan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top