Prosiding inkues Zara Qairina dipendekkan seminggu setiap bulan, dijangka berlarutan hingga April – Peguam

Prosiding inkues Zara Qairina dipendekkan seminggu setiap bulan, dijangka berlarutan hingga April – Peguam

am@hmetro.com.my

Kota Kinabalu: Inkues kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir dijangka hanya berlangsung selama seminggu setiap bulan.

Peguam, Shahlan Jufri berkata, prosiding minggu depan akan diadakan pada Isnin, Selasa dan Jumaat, berbanding lima hari bekerja seperti kebiasaan.

“Pada Februari, hanya satu minggu prosiding akan diadakan dari 2 hingga 6 Februari. Sepatutnya inkues ini bersambung sehingga 13 Februari.

“Bagi bulan seterusnya – Mac dan April – prosiding juga hanya seminggu setiap bulan sehingga inkues selesai,” katanya kepada media selepas hari ke-55 inkues berkenaan berakhir dengan keterangan dua saksi kanak-kanak, hari ini.

Shahlan yang mewakili ibu Zara Qairina berkata, pihaknya sudah memohon kepada Koroner, Amir Shah Amir Hassan, supaya satu lawatan semula diatur ke Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha, lokasi Zara Qairina ditemukan tidak sedarkan diri di tingkat bawah asrama sekolah itu.

Bagaimanapun, katanya, tarikh lawatan semula itu masih belum ditetapkan kerana perlu dibincangkan bersama pihak lain.

Mahkamah Koroner yang turut disertai saksi pakar termasuk pakar patologi Dr Jessie Hiu dan pegawai penyiasat jenayah, Inspektor Maidon Bernadus, sebelum ini pernah melawat lokasi kejadian pada 11 September lalu.

Inkues yang bermula pada 3 September tahun lalu susulan kematian Zara Qairina pada 17 Julai itu, setakat ini sudah memanggil 58 saksi. Sebelum ini dilaporkan terdapat lebih 60 saksi dalam senarai.

Namun, peguam memaklumkan bahawa lebih ramai saksi baharu mungkin dipanggil susulan perkembangan lanjut daripada keterangan saksi sedia ada.

Prosiding inkues itu sebelum ini berehat hampir sebulan bagi memberi laluan kepada perbicaraan kes membabitkan lima pelajar yang didakwa membuli Zara Qairina, cuti akhir tahun serta pembukaan Tahun Perundangan 2026.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top