Gol Barcola selamatkan PSG, keyakinan jadi persoalan

Gol Barcola selamatkan PSG, keyakinan jadi persoalan

Auxerre: Paris Saint Germain (PSG) kekurangan keyakinan biarpun jaringan lambung kemas Bradley Barcola menghadiahkan kemenangan 1-0 ke atas Auxerre di tempat lawan, kata ketua jurulatih, Luis Enrique.

Pemain sayap berusia 23 tahun itu menjadi ancaman utama PSG apabila asakan demi asakan dilancarkan sepanjang 90 minit permainan.

Namun sehingga Barcola menemui sasaran 10 minit sebelum tamat perlawanan, Auxerre dilihat mampu mempertahankan keputusan seri tanpa jaringan buat tahun kedua berturut-turut menentang lawan ternama mereka, hasil aksi cemerlang penjaga gol tuan rumah, Donovan Leon.

Luis Enrique tetap tidak berpuas hati walaupun kemenangan itu membawa PSG kembali ke puncak Ligue 1 buat sementara waktu, mengatasi Lens yang boleh merampas semula kedudukan teratas jika menewaskan Marseille di tempat lawan esok pagi.

“Saya fikir ia sangat jelas, ini satu situasi yang pelik. Kami memberi tekanan kepada Lens dan itu penting.

“Kami sedikit kurang yakin dan kurang tepat untuk menyudahkan peluang, ia sukar.

“Pemain bukan mesin. Hari ini kami kurang tepat dalam hantaran dan pergerakan bola.

“Kami boleh perbaiki keadaan kerana semua orang tahu kualiti individu yang kami miliki,” kata Luis Enrique, yang menyaksikan pasukannya tewas mengejut 1-2 kepada Sporting Lisbon dalam Liga Juara-Juara, pertengahan minggu lalu.

Auxerre pula terus terperangkap di zon penyingkiran, ketinggalan enam mata daripada keselamatan.

PSG bermula pantas dan hampir mendahului tiga gol dalam tempoh 10 minit pertama.

Usaha Barcola dua kali dinafikan Leon, manakala percubaan Khvicha Kvaratskhelia disekat Sinaly Diomande.

Leon sekali lagi cemerlang apabila menepis tandukan Goncalo Ramos sebelum setengah jam permainan, selain menyelamatkan percubaan dua kali berturut-turut dalam kekalutan di depan gawang untuk menafikan usaha Kvaratskhelia dan bakat muda, Ibrahim Mbaye.

Peluang terus hadir selepas rehat apabila Barcola melepaskan rembatan tersasar, manakala percubaan Kvaratskhelia sekadar melencong tipis.

Satu lagi percubaan lambung Barcola pula singgah di atas jaring.

Bagi Auxerre, percubaan Danny Namaso dan Lassine Sinayoko gagal menguji penjaga gol PSG, Lucas Chevalier.

Barcola terus menjadi mimpi ngeri tuan rumah.

Satu lagi larian deras menyaksikan dia melambungkan hantaran melepasi Leon yang keluar dari kotak penalti, namun pemain gantian Desire Doue mensia-siakan peluang apabila sepakannya tersasar walaupun gawang kosong.

Akhirnya Barcola tidak dapat dihalang apabila pemenang Ballon d’Or, Ousmane Dembele, melorongkan bola kepadanya selepas Auxerre dihukum serangan balas kerana terlalu ramai pemain naik ketika sepakan sudut.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top