Alpine buka ruang Horner kembali ke F1

Alpine buka ruang Horner kembali ke F1

Barcelona: Bekas ketua pasukan Red Bull Racing, Christian Horner berpotensi mengambil pegangan saham dalam pasukan Formula Satu (F1) Alpine, namun sebarang perjanjian dengan pemegang saham minoriti perlu mendapat kelulusan Renault, kata penasihat eksekutif Alpine, Flavio Briatore.

Horner antara ketua pasukan paling berjaya dalam sejarah F1 dan figura utama siri dokumentari Netflix Drive to Survive, dipecat Mei lalu, dengan laporan menyebut beliau menerima pampasan kira-kira £80 juta (RM433 juta).

Alpine dimiliki majoriti oleh Renault, namun menjual 24 peratus pegangan saham kepada kumpulan pelabur diketuai Otro Capital pada 2023 dengan nilai €200 juta (RM840 juta).

Penilaian pasukan F1 kini meningkat ketara, dengan Mercedes baru-baru ini dianggarkan bernilai AS$6 bilion (RM24 bilion).

Kumpulan pelabur Otro turut disertai RedBird Capital Partners dan Maximum Effort Investments, selain barisan atlet ternama termasuk pelakon Hollywood Ryan Reynolds dan Rob McElhenney, bintang NFL Patrick Mahomes serta pemain golf Rory McIlroy.

Spekulasi berhubung Alpine dan Horner terus berlegar, dengan pasukan berpangkalan di Britain itu dilihat sebagai laluan paling realistik untuk Horner kembali ke paddock sebagai pemilik bersama, bukan kakitangan.

“Otro mahu menjual pegangan mereka dalam Alpine.

“Ada beberapa kumpulan berminat membeli 24 peratus itu. Jika seseorang membeli 24 peratus, kami masih memiliki 75 peratus dan selepas itu barulah berbincang. Buat masa ini, itulah situasinya,” kata Briatore kepada pemberita ketika pelancaran jentera F1 baharu Alpine di atas kapal persiaran MSC di pelabuhan Barcelona.

Briatore berkata, beliau sudah lama mengenali Horner, namun sebarang rundingan antara warga Britain itu dan Otro tidak ada kaitan dengan dirinya atau Renault.

“Beliau berunding dengan Otro, bukan dengan kami. Pertama, perlu beli pegangan Otro dan selepas itu Renault perlu menerima pembeli. Kemudian barulah kita lihat apa yang berlaku,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top