KUALA LUMPUR: Penyerang pasukan kebangsaan Muhammad Syafiq Ahmad, sedia membuktikan dirinya masih berbisa dan diperlukan dalam pasukan, selepas mengharungi detik-detik mencabar sebelum ini.
Pemain berusia 25 tahun itu yang jarang mendapat minit beraksi bersama Johor Darul Ta’zim (JDT), selain kehilangan anaknya Muhammad Aisy Saqeef, berusia 22 hari dan ibu mentuanya dalam kemalangan ngeri Disember lalu, bertekad untuk kembali sebagai penjaring berbisa skuad Harimau Malaya.
Diturunkan sebagai pemain gantian pada separuh masa kedua ketika skuad negara tewas 1-4 kepada Kuwait pada Ahad lalu, Muhammad Syafiq turut mengakui tempoh 45 minit itu belum cukup untuknya mendapatkan kembali rentak, selepas hampir 18 bulan tidak beraksi sebagai satu pasukan.
Namun, beliau yakin masih mempunyai masa untuk memperbaiki dirinya dan prestasi keseluruhan pasukan, menjelang pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, apabila skuad Harimau Malaya berdepan Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 3 Jun, Vietnam (11 Jun) dan Thailand (15 Jun).
“Saya perlukan kepercayaan jurulatih dan kawan-kawan untuk buktikan, sebab kita hanya sikit lagi untuk layak (ke pusingan ketiga). Jadi rugi kalau kita tak ambil peluang ini. Tetapi bila saya dah masuk dalam pasukan dan padang, saya akan lupa seketika semua masalah.
“Bagi saya, tempoh dilalui (sejak kemalangan) memang tempoh yang agak sukar, tidak dapat dilupakan. Tetapi saya banyak bercakap dengan orang-orang yang lebih positif, apa terjadi itu takdir, itu adalah perjalanan hidup.
“Demi kedua-dua ibu bapa saya, isteri dan anak saya yang masih ada, saya akan terus berjuang. Buat sekarang, misi paling penting buat saya, pasukan dan rakyat Malaysia adalah layak (ke Piala Asia),” katanya ketika sidang media secara maya hari ini.
Skuad kendalian Tan Cheng Hoe yang kini berada di Manama, dijadual beraksi dalam aksi persahabatan Tier 1 menentang pasukan ke-98 dunia, Bahrain malam ini sebelum kembali ke Dubai bagi menghadapi aksi kelayakan tersebut.
Mengulas mengenai gandingannya bersama penyerang naturalisasi Guilherme de Paula, Muhammad Syafiq yang setakat ini menjaringan dua gol dalam kempen kelayakan itu menentang UAE dan Indonesia berkata, beliau perlu mendapatkan keserasian dengan pemain berasal dari Brazil itu.
“De Paula seorang pemain yang bagus, ada kualiti. Jika digandingkan, kita akan dapatkan keserasian kerana di bahagian serangan perlukan ‘chemistry’ yang baik untuk jaringkan gol. Dengan kualiti dimilikinya, boleh bantu kita dapatkan jaringan,” katanya.
Namun, de Paula tidak dapat diturunkan pada aksi menentang Bahrain, kerana belum cukup lima tahun menetap di Malaysia mengikut syarat Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), yang hanya dicapai pada 31 Mei ini.
– BERNAMA
© New Straits Times Press (M) Bhd




