am@hmetro.com.my
Kinabatangan: Mohd Kurniawan Naim Moktar menzahirkan penghargaan terhadap seluruh rakyat Kinabatangan atas sokongan yang diberikan kepadanya pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen itu hari ini.
Bercakap kepada pemberita selepas diumum secara rasmi memenangi kerusi itu, Mohd Kurniawan berkata, mandat yang diberikan adalah amanah besar yang perlu dipikul sebaiknya, suatu komitmen yang harus dilaksana penuh keikhlasan dan tanggungjawab.
Katanya, kemenangannya di kerusi itu juga menandakan rakyat Kinabatangan meraikan proses demokrasi secara lebih matang.
“Mandat ini datang bersama tanggungjawab yang besar. Insya-Allah janji saya pada semua adalah untuk bekerja untuk masyarakat yang sudah memilih saya.
“Hari ini saya dipilih atas pelbagai dasar dan Alhamdulillah, tugas ini walaupun tidak kekal, namun tetap besar untuk dijalankan,” katanya.
Mohd Kurniawan yang memperoleh 19,852 undi memenangi kerusi Parlimen Kinabatangan dengan majoriti 14,214, sekali gus menewaskan pesaing Datuk Saddi Abdul Rahman (Warisan) dan Goldam Hamid (bebas).
Dalam pada itu, beliau turut merakam penghargaan kepada pimpinan tertinggi Barisan Nasional (BN) dan seluruh jentera parti gabungan Kerajaan Perpaduan Sabah atas sokongan diberikan sepanjang kempen PRK berlangsung.
Sementara itu, Mohd Ismail Ayob yang memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag menyifatkan tanggungjawab baharu itu membolehkan beliau meneruskan usaha membawa suara rakyat ke peringkat lebih tinggi.
Katanya, khidmat bakti yang sebelum ini dilaksanakan melalui badan bukan kerajaan (NGO) akan diteruskan dan diperkasakan dalam kapasiti baharu sebagai wakil rakyat, selaras dengan amanah dan tanggungjawab yang lebih besar.
“Kini PRK sudah berakhir, tiba masanya untuk kita kembali bersatu, merapatkan saf dan membina semula kekuatan demi kesejahteraan masyarakat,” katanya.
Dalam pertembungan satu lawan satu, Mohd Ismail memperoleh 7,269 undi menewaskan pencabarnya, Mazliwati Abdul Malek (Warisan) yang mendapat 1,588 undi.
© New Straits Times Press (M) Bhd




