Mohon doa kesembuhan Shamsul Ghau Ghau

Mohon doa kesembuhan Shamsul Ghau Ghau

Kuala Lumpur: Pelakon dan Pelawak Shamsul Ghau Ghau dirawat di Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS), Serdang selepas dipercayai mengalami darah beku pada otak.

Perkembangan Shamsul dikongsi pelakon, Sheila Mambo selepas dimaklumkan isteri Shamsul mengenai keadaan kesihatan aktor itu.

Sheila berkata, pada mulanya, dia pelik apabila Shamsul atau nama sebenar, Shamsul Azahar Alidin tidak hadir ke set penggambaran, sedangkan mereka dijadual berlakon bersama.

“Apabila dia tidak muncul di set pagi ini, saya hubungi isterinya untuk bertanya. Isterinya beritahu Shamsul masih tidur dan tidak sedar ada penggambaran hari itu.

“Dia juga kelihatan tidak sihat. Jadi, saya minta supaya dibawa ke hospital. Selepas pemeriksaan, doktor sahkan ada darah beku pada bahagian otak kiri,” katanya.

Difahamkan, Shamsul masih ditempatkan di unit kecemasan dan doktor menyarankan agar pembedahan dilakukan segera.

Sheila turut berkongsi bahawa dia juga mengesan perubahan pada rakannya itu sejak awal penggambaran drama Kedai Kopi Melekit.

“Pada hari pertama, dia berlakon dengan sangat baik. Tetapi keesokkannya, dia banyak berbaring dan seolah-olah sukar membawakan watak. Bila saya tanya, dia hanya mampu ketawa,” katanya.

Dalam pada itu, Sheila turut memaklumkan Shamsul memerlukan bantuan kewangan bagi menampung kos pembedahan dan rawatan lanjut.

“Setakat ini, dimaklumkan deposit pembedahan mencecah RM25,000. Namun, pihak hospital sedang berusaha untuk memindahkannya ke Hospital Sungai Buloh.

“Mungkin kos rawatan di sana lebih rendah,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top