Ilmu pertahanan awam perkukuh misi bantuan Johor – Palestin 3.0

Ilmu pertahanan awam perkukuh misi bantuan Johor – Palestin 3.0

kartika@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Pendekatan profesional berasaskan ilmu pertahanan awam menjadi kekuatan utama Misi Bantuan Kasih Johor-Palestin 3.0.

Malaysian Humanitarian Aid & Relief (MAHAR) diberi kepercayaan menerajui amanah Kerajaan Johor dalam menjayakan misi kemanusiaan antarabangsa itu.

MAHAR menerusi kenyataan berkata, pihaknya memainkan peranan penting memperkukuh keberkesanan penyampaian bantuan dengan mengaplikasikan kepakaran pengurusan bencana dan logistik.

Menurutnya, ia termasuk operasi kemanusiaan selari piawaian antarabangsa yang digariskan oleh International Civil Defence Organisation (ICDO).

Selain itu, misi berkenaan dilaksanakan menerusi kerjasama strategik antara Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan MAHAR membabitkan operasi merentas beberapa negara dari 1 hingga 6 Januari lalu di Kem Pelarian Marka, Amman sebelum diteruskan ke Kaherah, Mesir dari 6 hingga 12 Januari lalu.

Menariknya, MAHAR berkata, misi itu turut disertai barisan pengurusan tertinggi dan kakitangannya yang juga Pegawai Lantikan Bersekutu serta anggota APM.

“Ia membuktikan keupayaan warga kerja tempatan mengendalikan operasi kemanusiaan dalam situasi mencabar termasuk konflik dan krisis kemanusiaan.

“Berbekalkan latihan serta pengalaman luas dalam misi merentas sempadan, MAHAR memberi tumpuan kepada aspek kritikal termasuk pengurusan logistik, penyelarasan bantuan kecemasan, keselamatan operasi serta pematuhan prosedur operasi standard (SOP) antarabangsa,” katanya.

Misi itu diterajui Mejar Bersekutu (PA) Jismi Azahari Johari selaku Ketua Misi merangkap Presiden MAHAR dan Pengerusi Ops Ihsan, dibantu Kapten Bersekutu (PA) Tengku Ainfarihin Tengku Abdullah yang menggalas peranan komunikasi strategik dan pengurusan media bagi memastikan ketelusan serta akauntabiliti awam.

Sementara itu, Koperal (PA) Mohamad Ridhwan Mohd Rahim yang berpengalaman 14 tahun bersama APM dan misi kemanusiaan di Timur Tengah, bertanggungjawab memantau aspek teknikal serta pelaksanaan agihan bantuan di lapangan bagi memastikan setiap proses berjalan cekap dan selamat.

Menurut MAHAR, latihan dan ilmu pertahanan awam yang diterima daripada APM bukan sahaja relevan dalam pengurusan bencana domestik, malah turut diiktiraf dalam konteks kemanusiaan global.

“Sepanjang misi, warga kerja MAHAR komited memastikan setiap sumbangan rakyat Johor diurus dengan penuh integriti melalui pemantauan rapi proses perolehan, penyimpanan dan penghantaran barangan keperluan asas.

“Pendekatan profesional itu sekali gus menjamin bantuan kritikal dapat disalurkan kepada rakyat Palestin secara selamat, berkesan dan telus, selaras mandat yang diamanahkan oleh kerajaan Johor,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top