London: Anthony Joshua mungkin tidak kembali ke gelanggang tinju, menurut promoternya, Eddie Hearn.
Petinju Britain berusia 36 tahun itu terbabit dalam kemalangan kereta di Nigeria bulan lalu yang meragut nyawa rakan karibnya, Sina Ghami dan Kevin Latif Ayodele.
Joshua secara luar biasa terselamat daripada tragedi itu, menghadiri majlis pengebumian rakan-rakannya di London dan kini memulakan latihan ringan di Dubai.
Namun, juara dunia heavyweight dua kali itu masih belum tampil bercakap secara terbuka mengenai kemalangan ngeri berkenaan atau masa depannya dalam sukan tinju.
Ketua Matchroom, Hearn, yang menjalani sesi latihan gim bersama Joshua minggu lalu, mengakui peluang untuk melihatnya kembali ke gelanggang masih belum pasti.
“Saya tidak berpeluang berjumpa dengannya sejak kemalangan teruk itu.
“Ia bukan sesuatu yang mudah. Dia cuba menyibukkan diri. Dari segi fizikal, dia dalam proses memulihkan kecederaan yang dialami.
“Kecederaan itu tidak memberi kesan jangka panjang, namun ia memerlukan masa untuk pulih sepenuhnya.
“Tinju adalah sukan yang keras dan lasak. Anda tidak boleh terus masuk ke kem latihan dengan kecederaan seperti itu dan saya sendiri tidak tahu bila atau sama ada dia akan kembali ke kem latihan.
“Buat masa ini, tiada perbincangan dan tiada keperluan untuk mengadakan perbincangan mengenai perkara itu,” kata Hearn.
Walaupun mengalami kecederaan pada bahagian rusuk, Joshua dilihat berlatih bersama atlet seni mempertahankan diri campuran (MMA) dan melakukan latihan tumbukan.
Hearn menambah: “AJ akan sentiasa berlatih. Jangan lupa tinju mengubah hidupnya selama-lamanya dan dia tidak akan meninggalkan gim. Apa yang orang lihat sekarang bukan latihan untuk kemunculan semulanya.”
© New Straits Times Press (M) Bhd




