Usaha bawa pulang remaja ditahan sindiket penipuan di Kemboja rumit, makan masa

Usaha bawa pulang remaja ditahan sindiket penipuan di Kemboja rumit, makan masa

Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil

harisfadli@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Proses membawa pulang seorang remaja Malaysia yang menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia di Kemboja sejak tiga tahun lalu tertangguh susulan isu status imigresen dan dokumentasi perjalanan.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) Datuk Hishamuddin Hashim berkata, remaja berkenaan kini masih berada di negara itu sementara menunggu urusan pengesahan dan penghantaran pulang oleh pihak berkuasa tempatan yang dijangka memakan sedikit masa.

“Dia masih menunggu proses imigresen kerana status dia masuk secara haram jadi dia ketika ini dia perlu tunggu surat penghantaran pulang (deportation).

“Pihak kedutaan (Malaysia) juga akan mengeluarkan dokumen perjalanan yang berkaitan kepada dia,” katanya ketika dihubungi Harian Metro hari ini.

Kelmarin, Harian Metro melaporkan, remaja lelaki yang hilang sejak tiga tahun lalu akibat ditipu, akhirnya menghubungi keluarga dan meminta pertolongan untuk diselamatkan selepas berjaya melarikan diri daripada kem sindiket penipuan.

Bapanya yang juga seorang penoreh getah, hanya mahu dikenali sebagai Ng, berkata, anaknya baru berusia 18 tahun ketika meninggalkan rumah pada Oktober 2022 dan memaklumkan kepada ibunya dia mendapat pekerjaan sebagai pekerja restoran di Kepong.

Hishamuddin dilaporkan berkata, remaja itu memberitahu aktivis dia dibawa ke Kemboja melalui laluan haram dari Thailand.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top