Harimau kumbang 'ceroboh' Balai Cerap Tapah

Harimau kumbang 'ceroboh' Balai Cerap Tapah

anbia@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kakitangan Balai Cerap Institut Tanah dan Ukur Negara (INSTUN), Tapah, Perak, gempar apabila seekor harimau kumbang jantan tersesat masuk ke kawasan berkenaan malam semalam.

Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, kejadian sekitar jam 10.30 malam itu dilaporkan kepada kakitangan Pejabat PERHILITAN Daerah Tapah, Perak oleh kakitangan INSTUN yang menyedari kehadiran harimau kumbang itu.

“Pasukan Perhilitan segera ke lokasi sebelum mendapati harimau kumbang itu berada di dalam kawasan pagar Balai Cerap INSTUN.

“Bagi memastikan operasi selamat, pihak PERHILITAN menghubungi Pasukan Tindak Balas Pantas Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC),” katanya.

Beliau berkata, operasi menangkap haiwan dilindungi itu dijalankan secara rapi dan harimau kumbang itu berjaya dibius sepenuhnya pada jam 1.17 pagi semalam.

“Hasil pemeriksaan awal mendapati tiada kecederaan luaran serius dikesan pada harimau itu yang dihantar ke pusat NWRC untuk pemeriksaan lanjut dan rawatan susulan,” katanya.

Beliau berkata, berdasarkan pengalaman operasi menyelamat hidupan liar sebelum ini, pihaknya mendapati ada haiwan seperti tapir dan harimau belang seolah-olah sengaja datang ke kawasan manusia untuk ‘memberitahu’ mereka sakit atau cedera akibat dijerat.

Menurutnya, pihak PERHILITAN sentiasa bersiap siaga 24 jam sehari untuk bertindak terhadap aduan membabitkan hidupan liar, terutama kes kecemasan yang mengancam keselamatan manusia dan haiwan.’

Beliau menegaskan, kejadian seumpama ini tidak boleh dipandang ringan kerana penggunaan jerat haram bukan sahaja kejam malah mengancam kepupusan spesies dilindungi negara.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top