SAYA membaca kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, jumlah kes baru jangkitan COVID-19 semalam adalah 7,857 menjadikan kes kumulatif meningkat ke angka 541,224 kes. Saat ini rakyat semua semakin risau, tidak mustahil kemungkinan angka ini meningkat ke 10,000 kes sehari boleh menjadi kenyataan.
Dalam situasi seperti ini, marilah kita kembali bermunajat kepada Allah S.W.T Yang Maha Berkuasa menyelamatkan kita daripada musibah ini. Dalam satu Hadis, Rasulullah S.A.W mengajarkan zikir munajat di saat kita menghadapi kesempitan, kesusahan dan ujian yang berat. Sabdanya:
Advertisement
يَا حَيُّ يَا قَيُّومُ بِرَحْمَتِكَ أَسْتَغِيثُ أَصْلِحْ لِي شَأْنِي كُلَّهُ وَلَا تَكِلْنِي إِلَى نَفْسِي طَرْفَةَ عَيْنٍ
“Wahai (Allah) Zat Yang Maha Hidup, Wahai Zat Yang Maha Mengurus segala sesuatu, dengan rahmatMu aku memohon pertolongan. Perelokkanlah urusanku seluruhnya dan janganlah Engkau biarkan aku menguruskan diriku sendiri walaupun sekadar sekelip mata.”
(Sunan al-Nasaie, no.10,405 dan Mustadrak al-Hakim, no.545 – Hadis Hasan)
Dengan ini, saya menyeru kepada semua pimpinan masyarakat, pihak pentadbir masjid dan surau, juga kepada pertubuhan, syarikat, kumpulan, keluarga dan orang perseorangan agar mempertingkatkan lagi munajat mengikut kesesuaian masing-masing.
Kita sama-sama memohon kepada Allah S.W.T agar diangkat wabak penyakit yang mengancam nyawa ini dari negara kita dan seluruh dunia. Ya Allah! Kami tiada daya upaya dan kekuatan kecuali dengan izin dan rahmatMu.
YB USTAZ AHMAD MARZUK SHAARY
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) – HARAKAHDAILY 28/5/2021






