am@hmetro.com.my
Kota Bharu: Suasana petang yang tenang dilalui Anis Suriati Mohamed bersama keluarganya bertukar menjadi episod traumatik apabila dia menyaksikan jirannya terkorban dalam kebakaran sebuah rumah di Jalan Tok Guru, di sini, hari ini.
Anis, 45, yang juga seorang suri rumah berkata, kejadian berlaku kira-kira 5.30 petang ketika dia sedang minum petang bersama keluarganya di rumah.
“Tiba-tiba saya terdengar dua bunyi dentuman yang kuat. Pada mulanya, saya sangka ada orang bergaduh,” katanya yang mengimbas semula kejadian itu.
Menurutnya, beberapa saat kemudian dia tersedar bahawa bunyi itu datang dari bumbung rumah jirannya yang runtuh.
Apabila Anis bergegas keluar, dia melihat jirannya iaitu wanita warga emas dikenali sebagai Kak Yah, melambai meminta tolong dari celah tingkap.
“Dia (Kak Yah) tinggal bersendirian. Saya dapat lihat api di belakangnya,” katanya yang memaklumkan tragedi itu meninggalkan kesan emosi mendalam kepadanya.
Ibu kepada seorang anak itu berkata, dia segera menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk bantuan, tetapi kebakaran semakin marak dan cepat merebak.
“Saya dengar dia meminta bantuan dari tingkap. Selepas itu, saya melihat dia jatuh,” katanya dalam suaranya yang terputus-putus dan sebak apabila menceritakan kembali detik itu.
Menurut Anis, Kak Yah mengalami kesukaran berjalan yang berkemungkinan menyulitkan dirinya untuk keluar menyelamatkan diri dari rumah sedang terbakar.
“Saya rasa sangat tidak berdaya. Tiada apa yang boleh saya lakukan ketika itu selain berdoa dan menunggu bantuan tiba.
“Saya tidak mungkin dapat melupakan saat itu (melihat Kak Yah maut dalam kebakaran),” katanya perlahan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




