London: Liam Rosenior menyifatkan Chelsea melepasi “ujian besar” selepas kemenangan 3-1 ke atas Crystal Palace awal pagi tadi yang meneruskan permulaan mengagumkan beliau selaku pengendali The Blues.
Rosenior memimpin Chelsea mencatat empat kemenangan daripada lima perlawanan dalam semua kejohanan sejak tiba dari Strasbourg bagi menggantikan Enzo Maresca.
Satu-satunya kekalahan buat pengendali berusia 41 tahun itu adalah ketika berdepan Arsenal pada aksi separuh akhir pertama Piala Liga. Beliau menjadi pengurus Chelsea pertama sejak Graham Potter mengutip enam mata daripada dua perlawanan awal liga utama.
Estevao Willian membuka jaringan pada minit ke-34 sebelum bertindak sebagai pencipta gol untuk Joao Pedro selepas rehat.
Pemain tengah Chelsea, Enzo Fernandez kemudian menyempurnakan sepakan penalti sebelum Chris Richards merapatkan jurang pada lewat permainan buat Palace yang bergelut, selain kehilangan Adam Wharton yang dilayangkan kad merah pada babak kedua.
“Saya rasa hari ini satu ujian besar. Saya menukar bentuk permainan dan prestasi yang dipamerkan pemain membuatkan saya sangat berpuas hati kerana 95 peratus tekanan dan 95 peratus kedudukan pemain berada pada tahap hampir sempurna.
“Jadi mereka benar-benar terbabit dan saya rasa mereka percaya dengan apa yang dilakukan. Ini hanya satu perlawanan. Kami perlu pastikan konsisten dalam setiap perlawanan,” katanya.
Ketika Rosenior tiba di Chelsea, pasukan itu hanya menang satu daripada sembilan perlawanan liga utama sebelum itu.
Kini Chelsea melonjak ke tangga kelima dalam perebutan slot kelayakan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim depan.
Rosenior mengakui ketika dilantik bahawa beliau perlu memberi impak segera bagi meredam kritikan yang mendakwa beliau sekadar ‘yes-man’ kepada hierarki Chelsea.
Strasbourg yang berpangkalan di Perancis berada dalam kumpulan pemilikan sama dengan Chelsea, sekali gus mencetuskan persoalan terhadap pelantikannya susulan pemergian Maresca yang dikenali dengan pendekatan tegas.
“Saya tidak memikirkan soal lega atau perasaan saya. Fokus saya hanya kepada kerja. Itu perkara paling penting,” kata Rosenior.
Kelab London barat itu akan bertandang ke Napoli awal pagi Khamis ini dengan misi mengesahkan tempat ke pusingan 16 terbaik UCL.
Chelsea kini berada di tangga kelapan, slot terakhir yang menjamin kemaraan automatik, dan sedar kekalahan berkemungkinan memaksa mereka beraksi dalam pusingan play-off.
Meskipun permulaan cemerlang itu, Rosenior enggan dibuai pujian.
“Kami ada satu lagi perlawanan besar nanti. Saya sentiasa ingatkan supaya tidak terlalu selesa. Masih ada perkara yang perlu diperbetulkan dengan segera,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




