syazrina@hmetro.com.my
Subang Jaya: Sebanyak 34 daripada 102 cawangan Emart24 di Malaysia menerima sijil halal bagi makanan kaunter, sekali gus mengukuhkan kedudukan jenama kedai serbaneka berkonsep Korea itu dalam pasaran tempatan.
Ketua Pegawai Eksekutif Emart24 Holdings Sdn Bhd, Vuitton Pang berkata, pensijilan halal itu meliputi makanan panas yang disediakan di kaunter jualan.
“Kami bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa halal tempatan seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi mendapatkan pensijilan halal sepenuhnya untuk premis, prosesnya masih diusahakan.
“Namun, pengguna tidak perlu bimbang kerana setiap produk yang dijual di rak bebas alkohol dan tidak mengandungi sebarang bahan tidak halal. Itu janji kami kepada pelanggan,” katanya.
Dalam pada itu, Pang berkata, bagi memperkukuh kawalan kualiti, inovasi produk dan status halal, Emart24 sedang membangunkan dapur pusat sendiri yang dijangka mula beroperasi awal tahun ini.
Katanya, dapur pusat itu membolehkan syarikat memperkenalkan produk baharu dengan lebih pantas dan memastikan konsistensi kualiti makanan.
“Jadi, penubuhan dapur pusat sendiri dilihat penting bagi membolehkan syarikat mengawal kualiti dengan lebih baik, mempercepat pengenalan produk baharu, mengikuti trend pasaran dan menjamin status halal produk.
“Dapur pusat juga akan memperluaskan penawaran makanan sedia dimakan bagi memenuhi keperluan pengguna y mahukan pilihan pantas,” katanya.
Berkenaan Cawangan Premium (Reserved Outlet), Pang berkata, ia jenis cawangan Emart24 yang menawarkan lebih fleksibiliti daripada segi reka bentuk dan saiz kedai serta mempunyai penawaran produk yang lebih luas berbanding cawangan biasa.
“Setakat ini, Malaysia mempunyai tiga Reserved Outlet iaitu di Tamarind Square, Cyberjaya; Bangsar South, Kuala Lumpur dan Sunway, Subang, masing-masing dengan konsep dan penawaran makanan berbeza,” katanya.
Mengulas mengenai pelan pengembangan, Pang berkata, fokus syarikat ketika ini adalah membuka lebih banyak cawangan di Semenanjung Malaysia berikutan masih banyak kawasan belum diterokai.
Katanya, Emart24 menyasarkan pembukaan 50 cawangan baharu pada 2026 dengan anggaran pelaburan sekitar RM500,000 bagi setiap cawangan.
Tambahnya, cabaran utama pembukaan cawangan baharu adalah mendapatkan lokasi strategik berikutan persaingan sengit dengan pemain kedai serbaneka, farmasi, selain jenama makanan dan minuman (F&B).
“Untuk harga, pelanggan banyak memberi maklum balas harga Emart24 munasabah dan kami bertekad mengekalkan harga berpatutan tanpa menjejaskan kualiti di mana-mana cawangan seluruh Malaysia.
“Konsistensi harga penting dan inisiatif ini juga dibantu melalui dapur pusat untuk mengawal kos serta menyalurkan penjimatan kepada pelanggan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




