Siri Redmi Note 15, penanda aras peranti lasak pada harga kompetitif

Siri Redmi Note 15, penanda aras peranti lasak pada harga kompetitif

KUALA LUMPUR: Xiaomi secara rasmi melancarkan telefon pintar terbaharu, siri Redmi Note 15 untuk pasaran tempatan, sekali gus menetapkan standard baharu bagi segmen kelas pertengahan yang menggabungkan prestasi tinggi dengan ketahanan fizikal luar biasa.

Menerusi DNA ‘Titan Durability’, siri ini direka khusus untuk menangani realiti penggunaan harian yang lasak tanpa memerlukan pengguna membayar harga setaraf peranti mercu.

Dua varian utama, Redmi Note 15 Pro+ 5G dan Redmi Note 15 Pro 5G kini dilengkapi kaca pelindung Corning Gorilla Glass Victus 2 pada bahagian hadapan. Teknologi ini terbukti mampu meminimumkan risiko kerosakan walaupun terjatuh dari ketinggian sehingga 2.5 meter.

Ketahanan itu diperkukuh dengan panel gentian kaca pada bahagian belakang yang menawarkan rintangan hentakan sehingga 10 kali ganda lebih tinggi.

Ia turut disokong struktur dalaman ‘Redmi Titan Structure’ yang merangkumi rangka tengah dan papan induk bagi menjamin jangka hayat peranti yang lebih lama.

Dari aspek perlindungan, siri ini melangkaui piawaian biasa dengan memiliki pensijilan IP66, IP68, IP69, dan IP69K. Spesifikasi ini membolehkan peranti bertahan daripada debu serta rendaman air sehingga kedalaman dua meter.

Kualiti binaannya turut diiktiraf melalui pensijilan TÜV Smartphone Water-Resistant Endurance serta SGS Premium Performance 5-Star bagi ujian ketahanan jatuh, tekanan dan lenturan, sekali gus memberikan keyakinan penuh kepada pengguna.

Bagi menyokong penggunaan jangka panjang, Xiaomi memberikan komitmen kemas kini perisian yang ekstensif iaitu sehingga empat tahun bagi sistem operasi (OS) dan enam tahun untuk kemas kini keselamatan.

Selain jaminan standard 1+1 tahun, pembeli turut ditawarkan perlindungan kemalangan selama dua tahun. Perlindungan ini meliputi satu tuntutan pembaikan skrin, kerosakan akibat cecair atau penutup belakang dalam tempoh tersebut bagi memastikan ketenangan minda pengguna.

Siri Redmi Note 15, penanda aras peranti lasak pada harga kompetitif 

Dari sudut spesifikasi teknikal, siri Redmi Note 15 dilengkapi bateri berkapasiti gergasi sehingga 6,500mAh.

Menariknya, Xiaomi menawarkan jaminan bateri selama empat tahun di mana unit akan diganti secara percuma sekiranya tahap kesihatan bateri merosot di bawah 80 peratus dalam tempoh jaminan.

Varian Redmi Note 15 Pro+ 5G pula tampil dengan teknologi pengecasan pantas sehingga 100W yang memendekkan tempoh cas secara signifikan, selain dilengkapi fungsi pengecasan songsang.

Bagi peminat fotografi dan pencipta kandungan, model Pro hadir dengan lensa utama beresolusi 200MP yang menjanjikan rakaman imej lebih terperinci dan tajam bagi memenuhi tuntutan media sosial masa kini.

Di Malaysia, siri REDMI Note 15 ditawarkan dalam beberapa pilihan model dan harga. REDMI Note 15 Pro+ 5G bermula dari RM1,699, manakala REDMI Note 15 Pro 5G bermula dari RM1,399.

Untuk pilihan lebih mampu milik, REDMI Note 15 5G bermula dari RM849 dan versi standard REDMI Note 15 pula ditawarkan pada harga RM799.

Siri ini mula dipasarkan secara rasmi pada 15 Januari 2026 dan boleh didapati di Xiaomi Store, laman mi.com serta platform e-dagang rasmi.

Orang ramai juga boleh menguji sendiri keupayaan peranti ini di jerayawara Redmi Note 15 Series yang dijadualkan berlangsung di Sunway Pyramid pada penghujung Januari ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top