farahmarshita@bh.com.my
Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, menetapkan 4 Mac ini untuk mendengar permohonan semakan kehakiman yang difailkan Syarikat percetakan, Techno Secure Print Sdn Bhd terhadap Kementerian Kesihatan (KKM).
Mahkamah sama sebelum ini membenarkan permohonan Techno Secure untuk mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman bagi perisytiharan bahawa proses untuk menentukan pihak yang berjaya bagi tender terbuka oleh KKM adalah tidak sah.
Syarikat itu juga memohon Perintah Certiorari untuk membatalkan keputusan KKM yang mengawadkan tender terbuka kepada Netsmart Sdn Bhd pada 30 September lalu.
Syarikat berkenaan turut memohon Perintah Mandamus bahawa responden pertama memutuskan dan selanjutnya mengawadkan tender terbuka nombot Jadual Tender : TP&P 92/2025 kepada pemohon.
Dalam permohonan itu, Techno Secure selaku pemohon menamakan KKM, Menteri Kesihatan dan Kerajaan sebagai responden pertama hingga ketiga.
Terdahulu, kes itu ditetapkan untuk perbicaraan di depan Hakim Alice Loke Yee Ching.
Bagaimanapun, peguam Tan Sri Azhar Azizan @ Harun yang mewakili Techno Secure, berkata mahkamah menetapkan 4 Mac ini selepas membenarkan permohonan kerajaan untuk memfailkan hujahan bertulis.
© New Straits Times Press (M) Bhd




