rnoraina@hmetro.com.my
Klang: “Kami tetap akan sayang anak dan menantu. Walaupun menantu, tapi dia seperti anak kami sendiri,” kata Ishak Saif, 59, yang berdepan pertuduhan mencederakan menantunya yang juga pempengaruh dan usahawan, Syed Muhammad Syah Hasif Syed Othman atau dikenali Prince Syed.
Dia bersama isteri, Aminah Haniffa, 55, dan dua anak lelakinya Muhammad Syahmi Faiz, 31, serta Muhammad Ikhwan Alif, 22, hadir bagi prosiding sebutan semula kes mereka di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Ishak berkata, mereka sekeluarga sudah reda dengan takdir dan bersedia menghadapi kes berkenaan yang kemungkinan akan mengambil tempoh lama di mahkamah sehingga selesai.
Apa yang menyedihkan, katanya, dia dan isteri sudah tidak dapat berjumpa dengan anak perempuan yang juga isteri Prince Syed iaitu Fatin Syazwani, 27, sejak kejadian berlaku pada November tahun lalu.
“Paling terkesan emaknya, terlalu rindukan anak. Apabila emaknya hantar WhatsApp, kadangkala kami tahu bukan Fatin yang balas tapi suaminya.
“Fatin sudah tidak balik ke rumah kami sejak kejadian. Kami minta dia boleh balik bawa cucu, tak pun telefonlah kami atau bagi gambar-gambar cucu.
“Kami bukan nak marah, walau jadi macam ini kami tetap tak marah. Kalau mereka balik, kami terima,” katanya ketika ditemui Harian Metro sebaik selesai prosiding hari ini.
Terdahulu, Ishak ditemani keluarga tiba di Mahkamah Majistret kira-kira 8.30 pagi untuk sebutan semula kes berkenaan selepas kesemua mereka mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mencederakan Prince Syed dan memecahkan cermin kenderaan milik Fatin, pada 14 November lalu.
Dalam prosiding hari ini, Majistret Nor Azilah Mat dan Siti Zubaidah Mahat menetapkan 21 April depan untuk sebutan semula kes bagi pihak peguambela meneliti dokumen.
Aminah, Ishak dan Muhammad Ikhwan Alif didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Prince Syed di Jalan Bertih Laut 5/KS3, Sungai Bertek, di sini jam 2.58 petang pada 2 November lalu.
Muhammad Syahmi Faiz yang juga abang ipar Prince Syed pula didakwa atas pertuduhan melakukan khianat dengan memecahkan cermin kenderaan Proton X70 milik adiknya sehingga kerugian RM560.
Ditanya sama ada mereka akan berunding secara baik untuk menyelesaikan kes di luar mahkamah, Ishak berharap ada penyelesaian terbaik dalam konflik berkenaan.
“Saya tak boleh buat apa sebab call (hubungi) dan mesej tak boleh. Kalau boleh nak selesai di luar (mahkamah), bukannya anggap orang lain tapi anak dan menantu.
“Jadi sekarang ini apa dia nak, kami ikut saja dan tidak boleh buat apa-apa,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




