Melbourne: Juara bertahan dua kali, Jannik Sinner, mengesahkan tempat ke suku akhir Terbuka Australia selepas menewaskan rakan senegara, Luciano Darderi, straight set dalam cuaca panas di Melbourne.
Pemain nombor dua dunia itu mencatat kemenangan 6-1, 6-3, 7-6 (7/2) dan kini menanti pemenang pertembungan antara pilihan kelapan dari Amerika Syarikat, Ben Shelton, atau pemain Norway selaku pilihan ke-12, Casper Ruud, bagi merebut tiket ke separuh akhir.
Sinner memburu gelaran ketiga berturut-turut di Melbourne, satu pencapaian yang hanya pernah dilakukan Novak Djokovic dalam era Terbuka sejak 1968, dengan kedua-dua pemain itu juga berada di landasan untuk bertemu dalam separuh akhir.
“Ia perlawanan yang sukar kerana kami berkawan baik di luar gelanggang,” kata Sinner sambil mengakui Darderi memberi tentangan terutama pada set ketiga.
Beraksi di Margaret Court Arena dengan suhu sekitar 30 darjah Celsius, Sinner melepaskan 19 ace dan menyifatkan peningkatan servisnya hasil kerja keras berterusan.
“Saya rasa lebih yakin ketika melakukan servis. Masih ada ruang untuk diperbaiki, tetapi gembira dengan permulaan musim baharu,” katanya.
Sinner yang mengakui bergelut dengan cuaca panas sebelum ini kembali mempamerkan aksi dominan apabila mendahului 5-0 dalam set pertama sebelum menutup set itu dalam masa hanya 27 minit.
Darderi cuba bangkit pada set kedua, namun tekanan memuncak menyaksikan dia dikenakan amaran selepas membaling raket dan memukul bola ke arah penonton.
Set ketiga menyajikan saingan lebih sengit apabila Darderi menyelamatkan dua mata perlawanan dan memaksa penentuan tie-break, namun Sinner memenangi tujuh mata berturut-turut untuk menoktahkan cabaran lawannya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




