Arbeloa berdepan bayangan Mourinho

Arbeloa berdepan bayangan Mourinho

Lisbon: Real Madrid memburu laluan terus ke pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara (UCL) apabila bertandang ke laman Benfica, Khamis ini, namun halangan terbesar yang menanti ialah bekas pengendali mereka sendiri, Jose Mourinho.

Pengendali berpengalaman dari Portugal itu masih menyimpan harapan tipis untuk membawa Benfica ke pusingan play-off, namun berdepan bekas kelabnya yang sudah menjuarai Eropah sebanyak 15 kali, maruah menjadi taruhan utama.

Mourinho pernah membimbing Real dari 2010 hingga 2013 tetapi gagal menjulang trofi UCL, ketika era itu menyaksikan Barcelona mendominasi di pentas domestik dan Eropah.

Di bangku simpanan Estadio da Luz nanti, Mourinho akan berdepan bekas anak buahnya, Alvaro Arbeloa, yang kini mengemudi Los Blancos selepas menggantikan Xabi Alonso awal Januari lalu.

Hubungan rapat mereka tidak menghalang Mourinho daripada melontarkan sindiran apabila menyifatkan peluang mengendalikan kelab besar sering diberikan kepada jurulatih ‘tanpa sejarah’, kenyataan yang ditafsir ramai sebagai merujuk kepada pelantikan Arbeloa.

Namun Arbeloa memilih pendekatan matang dengan mengakui pengaruh besar Mourinho dalam perjalanan kariernya.

“Anda semua tahu apa makna Mourinho kepada saya. Jika jurulatih sepertinya bercakap, lebih-lebih lagi beliau, saya akan dengar dan menilainya,” kata Arbeloa.

Beliau turut menegaskan tidak mahu meniru Mourinho sepenuhnya, sebaliknya kekal dengan identitinya sendiri sebagai jurulatih.

Selepas tersingkir mengejut dalam Copa del Rey kepada Albacete dalam perlawanan sulungnya, Arbeloa bangkit dengan tiga kemenangan berturut-turut, termasuk membelasah Monaco 6-1.

Real kini berada di tangga ketiga fasa liga dan kemenangan di Lisbon akan memastikan mereka mara terus ke pusingan 16 terbaik tanpa perlu melalui play-off, selain memberi kelebihan bermain di laman sendiri pada aksi timbal balik.

Walaupun sudah lama meninggalkan Real, pengaruh Mourinho masih terasa di Santiago Bernabeu, terutama pendekatan ‘mentaliti kepungan’ yang turut disokong Presiden kelab, Florentino Perez.

Mourinho kini berdepan tekanan hebat di Benfica selepas beberapa kekalahan Eropah menyaksikan kelab itu di ambang penyingkiran awal, selain ketinggalan jauh di belakang Porto dalam liga domestik.

Di sebalik situasi sukar itu, kunjungan Real ke Lisbon memberi peluang buat Mourinho untuk kembali mencuri tumpuan, walaupun hanya untuk satu malam, menentang kelab yang tidak pernah benar-benar melupakannya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top