Keluncuran sebuah stesen minyak di atas tanah wakaf di Sungai Merab, Bangi, Selangor baru-baru ini membuka lembaran baharu tentang peranan wakaf di Malaysia. Pada hemat penulis, pendekatan ini mencerminkan satu anjakan paradigma seputar cara wakaf berfungsi dalam realiti ekonomi semasa. Terletak di laluan utama dengan aliran trafik konsisten serta dikelilingi kawasan kediaman berkembang pesat, aset wakaf ini ‘hidup’ secara langsung dalam denyut nadi ekonomi seharian masyarakat, bukan lagi sekadar melukut di tepi gantang.
Kedudukan ini signifikan kerana wakaf masih difahami secara tradisional yang sering dikaitkan dengan masjid, sekolah agama atau tanah perkuburan. Walaupun tanggapan tersebut tidak salah, pendekatan sedemikian menyempitkan peranan wakaf kepada ruang ibadah, terpisah daripada kegiatan ekonomi dan penjanaan nilai secara produktif. Hakikatnya, kos lepas (opportunity cost) daripada cara fikir ini adalah nyata dan boleh diukur. Data Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) menunjukkan setakat tahun 2023, tanah wakaf seluas 2,415 hektar belum dimanfaatkan (12% daripada keseluruhan tanah wakaf berdaftar).
Untuk memberi gambaran lebih jelas, Hospital Pasir Gudang bakal beroperasi sepenuhnya Julai tahun ini dibina di atas tanah seluas 20.6 hektar. Maknanya, keluasan tanah wakaf terbiar di seluruh negara bersamaan lebih 100 hospital berskala sama. Dalam konteks kapasiti terpendam inilah projek stesen minyak di Sungai Merab wajar dinilai bukan sebagai sesuatu yang luar biasa, tetapi usaha mengarusperdanakan wakaf dalam aktiviti ekonomi seharian.
Jadikan wakaf sebahagian daripada ekonomi
Stesen minyak dibangunkan di atas tanah wakaf yang kekal di bawah amanah Majlis Agama Islam Selangor dengan pembangunan serta pengurusan aset dilaksanakan Perbadanan Wakaf Selangor (PWS). Operasinya pula dijalankan dengan kerjasama syarikat minyak melalui model dealer-owned, dealer-operated. Perincian operasi ini penting untuk difahami oleh masyarakat. Walaupun tanah tersebut kekal sebagai aset wakaf, institusi wakaf (PWS) tidak terlibat secara langsung dalam urusan jual beli minyak atau pengurusan kakitangan runcit.
Sebaliknya, operasi harian seperti jualan, dan pematuhan peraturan dan standard keselamatan dikendalikan oleh pengendali profesional. Pendekatan ini membolehkan penjanaan pendapatan daripada penggunaan tanah wakaf tanpa menanggung risiko operasi perniagaan secara langsung.
Hasil dijana digunakan terlebih dahulu untuk menampung kos operasi dan penyelenggaraan kemudahan. Manakala lebihan hasil dikitar semula untuk penyelenggaraan dan pembangunan aset wakaf dengan 50 peratus daripadanya diperuntukkan kepada Masjid Sungai Ramal Luar, selaras niat asal pewakaf tanah, Allahyarham Haji Mat Saman. Secara ringkasnya, tanah wakaf kekal terpelihara tanpa dijual.
Daripada kebajikan pasif kepada aset yang berkembang
Dalam kerangka lebih luas, pendekatan ini membezakan wakaf daripada amalan kebajikan tradisional dengan penekanan kepada kesinambungan manfaat. Tidak seperti sedekah yang bersifat sekali beri (one-off), lebihan hasil aset wakaf produktif boleh dilabur semula melalui penyelenggaraan dan penaiktarafan aset. Melalui pendekatan ini, wakaf berkembang daripada sumber agihan kepada aset berdaya tahan.
Gagasan bahawa wakaf boleh berkembang secara aktif kurang menonjol dalam wacana awam, dengan wakaf sering difahami sebagai sesuatu yang perlu dipelihara, bukan dimajukan. Walau bagaimanapun, kefahaman sedemikian bercanggah dengan roh asal wakaf sebagai sumber manfaat berterusan. Kekekalan wakaf dicapai bukan dengan membiarkan asetnya statik, tetapi dengan memastikan aset tterus relevan dan berfungsi dalam realiti masyarakat sentiasa berubah.
Wakaf dan ekonomi penjagaan
Cara fikir yang mengehadkan wakaf kepada ruang lingkup ibadah turut membentuk cara masyarakat melihat isu penjagaan sosial dengan penjagaan warga emas dan sokongan jangka panjang lazimnya dianggap sebagai tanggungjawab keluarga atau kewajipan negara. Dalam kerangka pemikiran sebegini, peranan wakaf jarang diketengahkan. Hakikatnya, Malaysia bergerak pantas ke arah masyarakat menua dengan peningkatan jangka hayat, perubahan struktur keluarga dan tekanan kos penjagaan menjadikan ekonomi penjagaan satu keperluan nasional yang semakin mendesak.
Dalam landskap ini, wakaf ada peranan lebih signifikan. Inisiatif penjagaan warga emas dilaksana Wakaf Pulau Pinang memberi gambaran awal bagaimana wakaf boleh dimanfaatkan bagi menyediakan penjagaan sistematik, bermaruah dan berterusan. Walaupun kemudahan itu tidak menyerupai masjid, matlamat asasnya tetap sama iaitu memberi manfaat awam secara berpanjangan.
Ke arah perubahan persepsi
Dalam imaginasi awam, pembinaan negara sering dikaitkan dengan projek infrastruktur besar, dasar kerajaan atau pelaburan swasta berskala tinggi dengan wakaf jarang dilibatkan dalam kerangka pemikiran ini. Namun, wakaf produktif menawarkan satu bentuk sumbangan yang berbeza, lebih ‘senyap’ tetapi tidak kurang pentingnya.
Pendapatan aset wakaf boleh menyokong penyediaan perkhidmatan sosial tanpa kebergantungan berterusan pada dana awam, kurangkan tekanan terhadap keluarga dan sistem kesihatan serta membuka peluang pekerjaan melalui latihan penjaga dalam sektor ekonomi perak agar berkembang seiring perubahan demografi negara.
Penulis Felo Penyelidik di Pusat Ekonomi Islam, Kulliyyah Ekonomi dan Sains Pengurusan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)
© New Straits Times Press (M) Bhd




