am@hmetro.com.my
Melaka: Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) menamatkan perkhidmatan setiausaha sebuah masjid di Bukit Baru yang terpalit dengan kontroversi menonton video lucah sehingga tular di media sosial baru-baru ini.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tadbir Urus Masjid (JKTU) pagi tadi selepas individu berkenaan mengemukakan surat peletakan jawatan kepada JAIM.
Beliau berkata, peletakan jawatan itu diterima sekali gus menamatkan tugas individu terbabit sebagai setiausaha masjid serta pengerusi sebuah surau kampung di Paya Ikan, yang kedua-duanya lantikan di bawah JAIM.
“Mesyuarat JKTU sudah membincangkan perkara ini dan kita mengambil keputusan menamatkan perkhidmatan beliau berdasarkan surat peletakan jawatan yang diterima,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mesyuarat JKTU di Bangunan JAIM Bukit Palah, di sini, hari ini.
Dalam perkembangan sama, Rahmad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Molek berkata, status imam tiga atau imam rawatib yang merakamkan perbuatan setiausaha itu diserahkan sepenuhnya kepada jawatankuasa masjid.
Beliau berkata, pelantikan imam terbabit bukan dibuat melalui JAIM, sebaliknya dilantik oleh jawatankuasa masjid dan menerima elaun daripada pihak berkenaan.
“Oleh itu, jawatankuasa masjid diberi kuasa untuk menerima atau menolak peletakan jawatan imam itu,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, sehingga kini pihaknya masih belum mengenal pasti individu yang bertanggungjawab menyebarkan rakaman video tular berkenaan.
Rabu lalu, media melaporkan isu tular video memaparkan seorang lelaki sedang menonton video lucah dipercayai di dalam pejabat sebuah masjid di Bukit Baru, di sini.
Video berdurasi satu minit 59 saat itu tular di media sosial memaparkan seorang lelaki yang didakwa setiausaha masjid, serta dikaitkan dengan sebuah parti politik, sedang leka menonton video lucah di dalam sebuah bilik dipercayai pejabat masjid.
Perbuatan lelaki itu dirakam individu lain sebelum mengetuk tingkap dan pintu pejabat berkenaan.
Individu di dalam pejabat kemudian membuka pintu namun menafikan melakukan sebarang perbuatan salah.
Menurut perakam video itu, rakaman dibuat sebagai bukti kejadian yang didakwa berlaku pada jam 9.13 pagi, 27 Disember lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




