kartika@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Malaysia menyasarkan pertumbuhan antara tiga hingga lima peratus dalam jumlah perdagangan keseluruhan pada 2026, kata Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Sim Tze Tzin.
Beliau berkata, sasaran itu disokong oleh kepelbagaian eksport, aktiviti nilai tambah serta pembabitan berterusan dengan pasaran global.
Menurutnya, unjuran itu adalah realistik dan selari dengan keadaan ekonomi global semasa, serta ramalan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), sambil mengambil kira ketidaktentuan seperti ketegangan geopolitik, gangguan rantaian bekalan dan perkembangan ekonomi dalam kalangan rakan dagang utama.
“Bagi 2026, pertumbuhan perdagangan diunjurkan pada tiga hingga lima peratus.
“Kita optimis sasaran ini boleh dicapai, namun perlu berhati-hati kerana keadaan ekonomi global boleh menjejaskan prestasi perdagangan,” katanya ketika pelancaran penerbitan Prestasi Perdagangan Malaysia, di sini, hari ini.
Sim berkata, pertumbuhan perdagangan Malaysia pada tahun sebelumnya mengatasi jangkaan dengan mencatat pertumbuhan sekitar 6.3 peratus berbanding sasaran awal kira-kira lima peratus, meskipun terdapat kebimbangan mengenai pergerakan mata wang dan potensi kelembapan ekonomi di pasaran utama.
Menurutnya, struktur eksport Malaysia, khususnya dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E), membantu mengurangkan kesan pengukuhan ringgit kerana kebanyakan eksport membabitkan proses nilai tambah, termasuk pengimportan barangan perantaraan untuk diproses lanjut sebelum dieksport semula.
“Malaysia tidak seharusnya lagi menjadi pengeluar kos rendah dan kita perlu naik ke rantaian nilai dan memberi tumpuan kepada pengeluaran bernilai lebih tinggi bagi menjana pulangan yang lebih baik dan mampan,” katanya.
Sim turut menambah bahawa lebihan dagangan Malaysia menyumbang kepada pengukuhan ringgit, dengan prestasi eksport yang berterusan membantu meningkatkan kekayaan negara serta daya tahan ekonomi.
Katanya, bagi menyokong pertumbuhan perdagangan, kerajaan akan terus meneroka kepelbagaian pasaran, memanfaatkan 17 perjanjian perdagangan dua hala dan pelbagai hala yang dimiliki Malaysia, serta mempergiat pembabitan dengan pengeksport menerusi usaha pemudahcara, pembinaan kapasiti dan inisiatif promosi perdagangan.
Beliau berkata, walaupun cabaran luaran dijangka berterusan, Malaysia akan terus melaksanakan langkah-langkah strategik dan tegas bagi kekal berdaya saing dalam persekitaran perdagangan global.
© New Straits Times Press (M) Bhd




