surayaroslan@mediaprima.com.my
DI saat ramai lelaki memilih kerja yang dianggap ‘keras’ untuk membuktikan kejantanan, Wan Azwade Ahmad membina namanya dengan sesuatu yang jauh lebih halus iaitu sulaman.
Namun, jangan silap, di sebalik benang, mesin dan corak berseni itu, berdiri seorang lelaki berjiwa kental, sabar dan berprinsip.
Berusia 48 tahun, Wan Azwade bukan orang baharu dalam dunia jahitan.
Hampir 27 tahun hidupnya dihabiskan dengan mesin jahit, bermula daripada sebuah butik pengantin sederhana.
Tanpa sijil, tanpa latar akademik formal, anak kampung dari Lunas, Kulim, Kedah dan kini menetap di Pulau Pinang ini belajar melalui pengalaman, kejatuhan dan ketekunan.
Sulaman pula mula diceburinya enam tahun lalu, bermula dengan Kemas Paya Keladi sebelum dia memperkemaskan kemahiran di Kraftangan Kepala Batas.Pilihan Wan Azwade untuk menguasai Sulaman Teknik Goyang bukan sekadar soal minat.
“Ia adalah soal warisan, teknik yang jarang diceburi, apatah lagi oleh lelaki yang dilihat sebagai satu amanah budaya,” katanya.
Baginya, seni tidak mengenal jantina. Lelaki juga mampu menghasilkan sesuatu yang cantik, halus dan bernilai tinggi.
“Ramai tahu kebaya itu cantik, bersulam dan berkerawang. Tapi tak ramai tahu bagaimana ia dibuat. Di situlah nilai warisan itu,” katanya.
Akuinya, menjadi satu-satunya tukang jahit lelaki yang aktif mengusahakan sulaman teknik goyang kaki di Malaysia bukan jalan mudah.
“Cabaran terbesar adalah memenuhi kehendak pelanggan yang mahukan hasil kerja ‘100 peratus sama’,” katanya.
Bagi Wan Azwade, kerja tangan mempunyai jiwa, setiap sulaman pasti berbeza walaupun sedikit.
“Jika permintaan melangkaui kemampuan seni itu sendiri, saya tidak teragak-agak menolak tempahan,” katanya.
Katanya, dalam dunia yang sering melabelkan sulaman sebagai ‘kerja wanita’, Wan Azwade pernah dipandang pelik.
Tidak kurang juga mesej pelanggan yang menyapanya dengan panggilan ‘sis’, namun dia tidak terguris.
“Teknik sulaman goyang menuntut kesabaran tahap tinggi, tukang tidak boleh gopoh, apatah lagi mengikut emosi.
“Mesin mempunyai ‘rentak’ tersendiri dan tukang perlu mengikutnya, bukan sebaliknya.
“Untuk menyiapkan sepasang kebaya bersulam, masa antara seminggu hingga tiga minggu diperlukan, bergantung kepada kain, reka bentuk dan warna,” katanya.
Wan Azwade mengakui, seni sulaman tradisional semakin kurang diwarisi.
“Minat generasi muda makin menipis, namun saya tidak berdiam diri. Ilmu ini sudah diturunkan kepada anak dan dalam perancangan masa depan, saya menyimpan hasrat membuka kelas sulaman goyang supaya teknik ini tidak pupus ditelan zaman,” katanya.
Hasil kerja Wan Azwade bukan calang-calang, sulamannya sudah menembusi pasaran antarabangsa dari Indonesia ke Jepun, United Kingdom, Korea, China, Singapura, Thailand hingga ke negara Arab.
“Namun momen paling membanggakan buat saya bukan sekadar tempahan luar negara.
“Tetapi saya satu-satunya lelaki tunggal sulaman goyang kaki di Malaysia,” katanya.
Harapannya jelas iaitu lelaki muda tidak perlu takut menceburi bidang yang sering disalah tafsir.
“Seni jahitan dan sulaman adalah kerja bermaruah, mampu menjana rezeki dan berdiri setara dengan apa jua profesion lain.
“Seperti kata Allahyarham P Ramlee, goyang kaki pun boleh dapat duit, jika ada ilmu dan kesungguhan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




