suliati@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Lebuh raya bukan sekadar laluan kenderaan, sebaliknya nadi yang menyatukan masyarakat dan menyokong kesejahteraan komuniti.
Prinsip inilah yang diterjemahkan PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menerusi Hari Komuniti MyPLUS, program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang terus memberi impak berterusan kepada masyarakat di sepanjang jajaran lebuh rayanya.
Sejak diperkenalkan pada 2013, program itu berjaya menyantuni lebih 170,000 ahli komuniti, sekali gus memperluas peranan PLUS daripada sekadar pengendali lebuh raya kepada rakan pembangunan sosial negara.
Bertemakan “Memperkasa Komuniti Selamat dan Lestari”, edisi kesembilan Hari Komuniti MyPLUS mencatat sejarah tersendiri apabila buat julung kalinya program CSR ini diperluaskan dengan pembabitan lima Sekolah Angkat MADANI (SAM) PLUS, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan kesejahteraan rakyat bermula dari peringkat akar umbi.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan menyambut baik usaha PLUS dalam meningkatkan fasiliti dan kemudahan pembelajaran yang lebih kondusif menerusi pembabitan sekolah SAM dalam program CSR syarikat itu.
Menurutnya, melalui program CSR dan pembabitan SAM, PLUS berperanan sebagai rakan pembangunan negara yang prihatin untuk kesejahteraan pendidikan pelajar sekolah.
“Ini selaras dengan nilai Malaysia Madani, di mana pembabitan aktif syarikat GLC seperti PLUS yang memberi perhatian kepada kebajikan dan kesejahteraan rakyat.
“Inisiatif ini juga memastikan kemudahan dan infrastruktur pendidikan yang ditambah baik dapat dirasai terus oleh pelajar dan penerima manfaat Sekolah Angkat Madani ini,” katanya pada majlis perasmian Hari Komuniti MyPLUS 2026 di Sekolah Menengah Kebangsaan (Perempuan) Bukit Kuda, Klang, baru-baru ini.
Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya (KKR), Datuk Dr Khairus Masnan Abdul Khalid, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Mohd Hadzmir Yusoff, Pengerusi PLUS, Datuk Mohamad Nasir Ab Latif, Pengarah Urusan UEM Group Berhad, Datuk Amran Hafiz Affifudin, Naib Canselor Universiti Teknologi MARA, Professor Datuk Dr Shahrin Sahib@Sahibuddin dan Pengarah Urusan PLUS, Datuk Nik Airina Nik Jaffar.
Sementara itu, Mohamad Nasir berkata Hari Komuniti MyPLUS adalah inisiatif CSR teras PLUS yang sudah dilaksanakan secara konsisten sejak dimulakan pada 2013.
Program ini selari dengan tunggak utama CSR PLUS iaitu keselamatan jalan raya, kesejahteraan komuniti dan kelestarian alam sekitar.
Malah katanya, setiap tahun skala dan jumlah sumbangan program itu turut menunjukkan peningkatan dari tahun ke tahun.
“Tujuan utama program ini ialah untuk memberi kembali kepada masyarakat. Bukan sekolah sahaja, malah membabitkan pelbagai inisiatif seperti klinik, komuniti setempat dan lain-lain.
“Untuk tahun ini sahaja, kira-kira RM1.1 juta dibelanjakan bagi pelaksanaan program ini.
“Namun nilai sebenar sumbangan adalah jauh lebih besar kerana banyak kerja dilaksanakan menggunakan tenaga kerja dan kepakaran dalaman PLUS sendiri,” katanya.
Mohamad Nasir berkata, pelaksanaan Hari Komuniti MyPLUS tahun ini turut mencatat sejarah tersendiri apabila buat pertama kalinya membabitkan lima SAM iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (Perempuan) Bukit Kuda, Selangor, Sekolah Kebangsaan Khir Johari, Kedah, Sekolah Kebangsaan Perlok, Perak, Sekolah Menengah Kebangsaan Buluh Kasap, Johor dan Sekolah Kebangsaan Bukit Besi, Terengganu.
Selain itu, Hari Komuniti MyPLUS turut dilaksanakan secara serentak di 25 lokasi terpilih di seluruh negara bagi memastikan impak yang lebih menyeluruh, merangkumi kerja-kerja penambahbaikan kawasan komuniti seperti di sembilan sekolah, klinik kesihatan, pusat komuniti, taman rekreasi, kawasan pantai dan lain-lain lokasi yang berdekatan dengan jajaran Lebuhraya PLUS.
Pendekatan serentak ini membolehkan warga PLUS, mahasiswa universiti, pelajar sekolah, komuniti setempat serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bergabung tenaga menjayakan program ini.
Di SMK (Perempuan) Bukit Kuda, PLUS melaksanakan penambahbaikan prasarana menyeluruh bagi mewujudkan persekitaran pembelajaran lebih kondusif kepada lebih 700 pelajar, termasuk menaik taraf Makmal Bestari dengan 20 unit komputer, pemasangan kamera litar tertutup (CCTV), menaik taraf bilik kelas masakan, lampu LED berkuasa solar, kerja mengecat bangunan, penambahbaikan bilik darjah, kemudahan pejalan kaki, landskap, sistem pendingin hawa, televisyen pintar serta papan tanda keselamatan.
Program ini turut disokong lebih 2,000 sukarelawan membabitkan warga kerja PLUS, ahli komuniti setempat dan mahasiswa daripada 11 institusi pengajian tinggi.
© New Straits Times Press (M) Bhd




