rnoraina@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Tiada kes baharu penyakit Nipah dilaporkan di Malaysia setakat ini, susulan wabak penyakit itu yang dikesan berlaku di West Bengal, India.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi satu kenyataan memaklumkan, pihaknya kekal berwaspada terhadap risiko penularan rentas sempadan susulan kejadian jangkitan secara sporadik di beberapa negara lain, walaupun negara ini tidak melaporkan sebarang kes penyakit berkenaan sejak tahun 1999.
“Pemantauan berterusan penyakit ini juga dipertingkatkan melalui kerjasama dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia (DVS) serta Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (PERHILITAN) melalui pendekatan ‘One Health’.
“Setakat ini, tiada virus Nipah dikesan dalam kalangan haiwan domestik atau liar,” kata kenyataan itu hari ini.
Penyakit Nipah adalah penyakit berjangkit zoonotik yang disebabkan oleh virus Nipah (NiV) dengan keluang sebagai perumah semulajadi.
Jangkitan kepada manusia boleh berlaku melalui sentuhan langsung dengan cecair badan haiwan yang dijangkiti seperti air liur, darah dan rembesan, pengambilan makanan yang tercemar serta kontak dengan cecair badan individu yang dijangkiti.
Gejala seperti demam, sakit kepala, muntah, batuk, susah bernafas, sawan, kekeliruan, dan kebingungan lazimnya muncul selepas tempoh pengeraman antara lima hingga 14 hari.
Komplikasi penyakit ini termasuk radang otak dan masalah pernafasan dengan kadar kematian antara 40 hingga 75 peratus.
Penyakit ini wajib dilaporkan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
Justeru, KKM menasihati orang awam terutama pengembara ke kawasan berisiko tinggi menjaga kebersihan diri, mengelak sentuhan dengan haiwan yang sakit atau pengambilan produk disyaki tercemar bagi mencegah jangkitan virus Nipah.
“Pengembara dari kawasan berisiko juga dinasihatkan memantau status kesihatan kendiri dan segera dapatkan rawatan di fasiliti kesihatan berhampiran sekiranya tidak sihat,” katanya.
KKM akan terus memperkukuhkan kesiapsiagaan melalui saringan kesihatan di Pintu Masuk Antarabangsa (PMA), khususnya membabitkan pengembara dari negara berisiko.
Pada masa sama, KKM turut mempertingkatkan pengawasan berterusan, pengukuhan kapasiti makmal negara, kesiapsiagaan fasiliti kesihatan, pelaksanaan langkah pencegahan, kawalan termasuk amalan pencegahan dan kawalan infeksi (IPC), serta kerjasama rentas sektor antara agensi bagi melindungi kesihatan awam selain mencegah kemunculan semula penyakit itu di negara ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




